Sunday, May 8, 2011

Catatan Kelas Tarannum 3 May 2011

Salam,

Sudah beberapa minggu saya tidak kemaskini rakaman kelas Tarannum. Diatas permintaan rakan-rakan disini saya upload rakaman terbaru pada 3 May 2011. Jika berkesempatan, saya akan upload juga rakaman yang sebelum ini.

Rakaman ini mengandungi Ulangkaji lagu Bayati, Hijaz, Nahwan dan lagu terbaru Rast Harakt 1 dan 2.

Sekian, semoga ada manafaatnya.

Sila klik link dibawah untuk download.

Rakaman 3 May 2011

Wednesday, May 4, 2011

Salam semua,

Lama tidak menulis di blog lantaran kesibukan tugasan seharian.. Hari ini saya membaca satu Catatan dari Saudara Zul Azri...maaf kerana terlepas pandang..

Zul Azri said...
salam nordin.sy sgt3 bermint nk bljr ilmu tarannum.tp,stktni sy xde pluang nk bljr dr ustz2 @pn sertai kls tarannum.ade sy tgk2 video2 tp, sy xtau mcmne spatutnye sy start.yg mane dlu sy harus bljr.bayati k rast k.sy xtau semuani.tp mint sgt3 nk bljr.mcmne ye.kalau blh.nk minta nordin bg tau sket tntg bayati tu ape.rast tu ape.n semua yg ade dlm tarannum.trus trg, sy mmg xtau langsung psl tarannumni.kagum sgt dgr adik2 kecil pn dah hbt tarannum.bce merdu n sayu je.tp sedihnye sy msh xpandai n xtaupn psl ilmuni..:'(

March 15, 2011 2:28 AM

Response saya:

Salam Zul,
Minat itu sebenarnya satu permulaan yang baik. Persoalan kedua adalah peluang untuk belajar. Persoalan ketiga adalah usaha untuk belajar.

Bagi menjawab persoalan kedua, nak hadiri kelas mungkin tidak berkesempatan atau tiada peluang. Salah satu cara yang dapat membantu adalah melalui VCD dan web seperti ini. Sebagai permulaan boleh belajar dengan cara ini. Bagaimanapun untuk menjadi yang terbaik mestilah melalui proses berguru...Ini tidak dapat dielakkan. Tidak ada yang berjaya tanpa melalui bimbingan seorang guru...

Persoalan ketiga adalah usaha iaitu setelah timbul minat dan ada sedikit ruang dan peluang, sejauh mana usaha kita untuk mendapatkannya....Qari ternama dari Pahang Dato Faizul telah berulang-alik dari Pahang ke Pasir Mas Kelantan 2 kali sebulan semata-mata untuk mengadap Tn Guru Nik Jaafar mempelajari Ilmu Tarannum ini selama lebih kurang 5 tahun sebelum berjaya menjadi Johan peringkat Antarabangsa.....
Saya sendiri tidak mampu sampai ke tahap itu...tapi saya sentiasa berusaha mencari kelas-kelas tarannum dan alhamdulillah kesemua guru-guru yang saya pelajari merupakan orang yang hebat seperti Ustz Anuar Hasin (Johan AQ2), Ustz tarmizi (Tempat ke-3 AQ3), Ustaz Hasan Fadhli (Pernah menjadi Johan Wilayah Persekutuan KL) dan terkini Ustaz Anuar Ghazali ( Johan Kelantan 2009/2010 dan Naib Johan Kebangsaan 2010). Bukan senang untuk mendapat peluang belajar dengan mereka-mereka ini. Penganjur mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk menyediakan peluang belajar ini. Maka kita tidak seharusnya melepaskannya tanpa mengambil sebarang manafaat darinya.
Sekiranya saudara tinggal di KL, peluang belajar Tarannum terbuka luas. Carilah ruang dan peluang dan berusaha kearah itu.

Didalam Tarannum, Lagu Bayati adalah lagu permulaan yang biasa dibawakan oleh mana-mana Qari. Bayati bermaksud "rumahku". Maknanya kita bermula dari rumah dan akan pulang kerumah. Begitulah Tarannum, bermula dengan Bayati kemudian diikuti oleh lagu-lagu yang lain seperti Hijaz,Nahwand, Rast dan kembali semula kepada lagu Bayati apabila menamatkan bacaan. Terdapat 7 lagu yang asas dalam Tarannum iaitu BAYATI, SOBA, HIJAZ, NAHWAND, RAST, SIKAH DAN JIHARKAH.
Kita boleh memilih mana-mana lagu jika tidak disyaratkan seperti didalam Akademi Al Quran.
Diringkaskan cerita…Bolehlah cuba-cuba ikuti rakaman tarannum yang saya masukkan dalam blog ini kerana Ustaz Anuar memulakan pengajaran beliau untuk peringkat yang paling asas.
Sekian…selamat mencuba..

Sunday, March 13, 2011

Catatan Kelas tarannum 6

Salam semua,

Kelas Tarannum ke-6 telah melangkah setapak lagi dengan permulaan lagu Hijaz. Sebuah lagu yang mendayu tetapi tegas. Lagu ini juga biasa dibawakan dengan harakat Jawabul Jawab. Berasap jugak lah...Nada yang tinggi mungkin menyebabkan suara pecah jika tidak berhati-hati. Peluang baca dihadapan Ustaz tidak dilepaskan disebabkan ini lagu baru. Saya dan Faris telah baca dan alhamdulillah dapat membawa lagu yang diajarkan ini.

Sila ikuti rakaman dibawah dan praktis lagu hijaz ini harakat pertama dan kedua. Semoga ada manafaatnya.

Sekian, terima kasih.

Rakaman 6A
Rakaman 6B

Thursday, March 3, 2011

Perkongsian Maklumat

Salam semua,

Media internet sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita buat masa ini. Setiap hari melayari internet dengan pelbagai tujuan. Ada yang mempunyai tujuan yang baik. Ada juga yang mempunyai tujuan yang buruk seperti dengan niat menipu dan sebagainya. Buruk dan baik ada dimana-mana, bergantung kepada pilihan kita.

Saya seringkali merujuk kepada internet apabila ingin mencari maklumat sesuatu perkara. Daripada resepi sehingga kepada benda yang komplikated seperti nak repair TV dan komputer. Saya belajar repair komputer dulu pun melalui internet. Asas yang kita pernah belajar mungkin tidak mencukupi, namun daripada perkongsian ilmu dalam internet kita dapat memajukan diri dengan ilmu yang dapat memberi faedah kepada kita.

Begitulah juga dengan ilmu agama. Begitu banyak ilmu yang boleh diperolehi melalui internet. Tinggal lagi kita perlu menyaring dan tidak menerima bulat-bulat apa yang diperolehi. Sebarang keraguan perlu dirujuk kepada individu yang lebih mengetahui.

Halaman blog ini di wujudkan diatas dasar perkongsian ilmu. Insya Allah ada manafaatnya buat yang membacanya. Insya Allah juga dan dipohon kepada Allah supaya apa yang dikongsikan termasuk didalam 3 amalan yang berkekalan pahalanya walaupun nanti saya kembali menghadap Allah iaitu Ilmu yang bermanaat yang disebarkan. Walaupun sepatah perkataan, walaupun sebaris ayat, ianya pasti amat bermakna apabila kita kembali menghadap Allah. Inilah yang menjadi pembakar semangat dan memberi kekuatan untuk terus menghidupkan blog ini.

Saudara saudari,

Perkongsian ilmu ini akan lebih menarik apabila ada hubungan dua hala, daripada saya dan juga pembaca. Saya dapati ramai yang mengunjungi blog ini, tidak kurang 100 klik sehari, tetapi tiada komen yang diberikan. Ini menjadikan blog ini sunyi dan tiada "give and take". Tak tahulah apa sebabnya. Bagaimanapun tiada masalah bagi saya. Blog ini juga untuk rujukan saya sendiri....Untuk menjadikan blog ini lebih menarik, saya berhasrat memasukkan video, bagaimanapun ada sedikit masaalah, tapi tak ada siapa nak bantu. Malas nak bersusah payah kot!! tak tahulah...Masih menunggu dari seorang sahabat untuk bagi software proses video tersebut, belum sampai-sampai....nak minta berulang kali segan pula.....huhuhu....

Akhirnya saya nak coretkan disini iaitu Masjid Putrajaya dan Masjid Wilayah juga ada menganjurkan kelas Tarannum. Untuk Masjid Wilayah penyertaan telah ditutup. Mungkin boleh cuba intai-intai peluang ditahun depan. Pengambilan terhad 30 orang sahaja. ( pendapat saya tak sepatutnya begitu.....penyertaan yg ramai lebih baik sebab mungkin ramai yang "syahid" dipertengahan jalan....maaf ye..last sekali tinggal beberapa orang...Ustaz nak mengajar pun tak bersemangat).
Masjid Putrajaya saya tak pasti. Masa saya tanya bulan lepas masih boleh disertai sebab kelas baru bermula selepas Cuti tahun baru Cina. Dapatkan info dari website masjid Putrajaya.

Sekian perkongsian info hari ini.

Wassalam.

Wednesday, March 2, 2011

Catatan Kelas tarannum 5

Salam,


Alhamdulillah kelas Tarannum ke 5 telah berjalan dengan lancar seperti biasa. Saya juga perhatikan kehadiran pelajar semakin bertambah. Mungkin kaedah pengajaran yang diajarkan oleh Ustaz telah menarik minat ramai untuk turut serta. Ramai juga yang datang dari jauh seperti Kajang, Gombak, Sentul, Subang dan lain-lain.. Pada yang datang dari jauh ini saya boleh katakan dalam bahasa rock " wa respect sama lu"....Banyak pahala tu.!!

Kelas malam tersebut masih lagi berkisar kepada ulangkaji lagu Bayati. Pelajar dibukakan peluang untuk membaca harakat 1-3 kemudian disambung oleh pelajar lain dengan harakat 4-6. Pada malam ini ustaz menekankan berkenaan dengan Tabaqat (tingkatan) suara. Contoh disini adalah jika pelajar yang memulakan bacaan harakat 1-3 dengan nada yang agak tinggi...maka pelajar yang menyambung harakat 4-6 akan bermasalah disebabkan nada yang terlalu tinggi diperlukan untuk mengalunkan harakat berkenaan. Disinilah pentingnya penyesuaian tabaqat dengan nada suara yang kita ada. Jangan ikut orang lain, tapi nilailah diri sendiri, dimanakah tabaqat yang sesuai dengan suara kita.

Ramai yang salah faham dengan mengatakan " nada suara saya rendah...tak boleh bertarannum kerana Tarannum perlukan nada suara yang tinggi " Ini satu kesilapan....Mereka ini sebenarnya tidak memahami penggunaan tabaqat suara. Sesuaikan nada Do..re..mi.. itu dengan nada suara kita sendiri....

Saya berikan contoh Adik Muhammad Ahmad Zahid yang telah memenangi Naib Johan Akademi Al Quran musim ke-4 adalah diantara mereka yang mempunyai nada suara yang rendah. Bagaimanapun kemahiran beliau dalam penggunaan suara dan burdah-burdah lagu telah meletakkan beliau antara yang terbaik. Contoh yang kedua adalah Ustaz Yahya Daud yang pernah mewakili kelantan dan memenangi Tilawah Kebangsaan dan Antarabangsa (tahun saya tak ingat) adalah diantara mereka yang mempunyai nada suara yang rendah. Kalau tak guna mikrofon, suaranya amat perlahan. Tapi Burdah lagu dapat menghapuskan segala kelemahan tersebut sehingga mampu berjaya ke peringkat tersebut. Beliau juga adalah Mursyid bagi Tarannum dalam akademi Alquran yang ke-3.

Jadi jangan putus asa bagi tuan-tuan yang mempunyai nada suara yang rendah. Teruskan belajar dan Insya Allah akan faham dan dapat mengalunkan Tarannum Al Quran dengan baik.

Diakhir kelas Ustaz telah menunjukkan bagaimana lagu Bayati ini diserapkan kedalam ayat yang lain. Beliau telah memilih Surah Al-fatihah sebagai contoh. Sila dengar dari rakaman yang di sertakan. Perhatikan kesamaan nada setiap harakat dengan surah Al-Baqarah yang telah dipelajari sebelum ini.

Selamat mendengar....

Rakaman Kelas ke -5

Note :

Komen dari tuan-tuan amat dialu-alukan.

Tuesday, February 22, 2011

Catatan Kelas Tarannum 4

Salam,


Alhamdulillah kelas Tarannum ke-4 berjalan seperti biasa. Pada minggu ini juga Ustaz telah membuat ulangkaji untuk lagu Bayati Harakat 4, 5 dan 6. harakat yang agak mencabar disebabkan tabaqat(tingkatan) suara yang tinggi diperlukan semasa mengalunkan harakat ini. Silap gaya suara tak sampai ataupun suara akan pecah. Disinilah perlunya kita berhati-hati semasa memulakan bacaan sedari awal Isti'azah dan Basmallah.

Sebenarnya ada satu harakat lagi yang paling tinggi yang dipanggil Jawabul-jawab. Mungkin harakat ini belum lagi diajarkan. Harakat ini sesuai untuk orang yang mempunyai nada suara yang tinggi sahaja.

Latihan harakat 4-6 ini dibuka kepada semua yang hadir. Ramai yang telah mencuba termasuk saya. Minggu lepas saya baca sehingga harakat 5 sahaja. Jadi minggu ini cuba sehingga harakat ke 6. Muslimah nampak malu-malu nak baca. Muslimin ramai yang bersemangat...Tahniah kepada yang baru belajar tatapi telah berani mencuba. ....Tak cuba ...tak tahu....

Sahabat yang lain camana? Tn Hj Ismail...maaf tak sempat nak jumpa anta, habis sembahyang sunat terus kelas bermula. Sdr Farida (BTS) dan Sdr Iqbal datang tak? Jangan segan-segan nak baca. Tangkap je mikrofon tu dan keluarkan suara yang terpendam... Berlatih dahulu kat rumah kalau rasa kurang konfiden..

Disertakan sebahagian dari rakaman semalam sebagai panduan...jangan lupa cuba masukkan kedalam surah Yaa Siin sebab minggu depan Ustaz nak suruh baca. ....huhuhu...

Sekian.

Rakaman Kelas Ke-4 download.

Note :- Saya ada rakam Video semalam tapi nak proses video belum ada software... Siapa yang ada video processing software, minta tolong copy dan pos kat saya. Nanti saya bayar melalui maybank2U.....ada sesiapa yang sudi bantu ke?

Tuesday, February 15, 2011

Catatan Kelas Tarannum 3

Salam semua,

Sudah 3 minggu kelas Tarannum berjalan. Sambutan masih lagi memberangsangkan. Semoga keadaan ini berterusan.

Ustaz datang agak lewat disebabkan ada kuliah Maghrib di Cheras Baru. Namun disini saya dapat melihat kesungguhan dan komitmen Ustaz untuk membimbing kelas Tarannum. Walaupun lewat sedikit dari biasa namun beliau sudah maklumkan terlebih dahulu. Beliau bergegas datang ke masjid Al-Muqarrabin sehingga terpaksa menolak hidangan yang disediakan di Surau Cheras Baru kerana bimbang akan lebih lewat sampai ke kelas. Semoga komitment ini berterusan dan kami sebagai pelajar amat menghargai.....

Kelas semalam banyak kepada ulangkaji tapi panjanglah sikit sebab dari harakat 1 hingga 5. Maka tak ramailah yang dapat baca depan Ustaz. Alhamdulillah saya dapat juga kesempatan baca depan Ustaz....Minggu lepas saya tak baca. Di akhir kelas Ustaz telah menyambung kepada Harakat yang ke 6. Tapi sekejap saja disebabkan masa tidak mengizinkan.

Kata-kata Ustaz yang masih saya ingat dan akan sentiasa ingat InsyaAllah ialah..."InsyaAllah tahun depan kita akan ada wakil dari Kuala Lumpur..akan jumpa dengan wakil Kelantan"......Apa makna agak-agak tuan/puan lah...Ini soalan pop Kuiz!! huhuhu. hadiah dirahsiakan...huhuhu.

OK sampai sini dulu....saya akan sambung posting ini malam nanti beserta dengan rakaman kelas Tarannum yang ke 3.

(Bersambung)

Dalam kelas ke -3 ini ustaz secara tidak langsung ada menunjukkan beberapa variasi yang berlainan pada harakat ke 2 dan harakat ke 5. Semakin belajar semakin dirasakan ilmu taranum ini masih terlalu luas untuk direnangi.

Sila ikuti rakaman kelas ke 3 ini. Semoga ada manafaatnya buat semua.

Rakaman Kelas ke 3

Tuesday, February 8, 2011

Catatan Kelas Tarannum : 2

Puas hati dan menyeronokkan....itu je yang nak cakap berkenaan dengan kelas tarannum malam ini. ...


Ustaz telah memulakan kelas dengan mengulangkaji pelajaran yang diajar minggu lepas iaitu Bayati harakat 1 hingga 3. Ramai yang telah cuba membaca dihadapan Ustaz. Ada yang baru belajar dan ada juga yang lama.

Seterusnya beliau menyambung dengan Harakat 4 dan 5 daripada lagu Bayati. Pada harakat ke 4 beliau juga telah menunjukkan penghujung harakat(Mahattah) yang mempunyai pelbagai variasi. Ini lah yang dicari sebenarnya...

Sila download rakaman daripada link dibawah. Rakaman ini untuk Harakat 4,5 dan 6 sahaja. Untuk harakat 1 hingga 3, sila rujuk kepada posting sebelum ini.

http://www.mediafire.com/?w88sjpubjpu1f8w

Monday, February 7, 2011

Rakaman Kelas Tarannum 1

Salam semua,

Sila download rakaman kelas Tarannum 1 daripada link dibawah:

http://www.mediafire.com/?kmyx39p1drkq739

Tuesday, February 1, 2011

Catatan Kelas Tarannum : 1

Salam semua,

Alhamdulillah dengan inzin Allah, kelas Tarannum Masjid Al-Muqarrabin telah bermula semalam. Kehadiran agak memberangsangkan. Semoga suasana ini berterusan untuk minggu yang akan datang.

Kelas dikendalikan dalam keadaan santai. Sekejap sahaja dirasakan. Masa 1 jam sahaja dari jam 9.00 - 10.00 malam. Siapa yang nak baca boleh baca depan Ustaz....Tak nak baca pun tiada masalah....

Untuk malam tadi, Ustaz telah memulakan dengan lagu Bayati dari Harakat 1 hingga Harakat 3. Penerangan cukup mudah dan amat sesuai untuk yang baru belajar. Jika dihayati dengan baik, insyaAllah boleh mengikuti apa yang diajarkan tanpa sebarang masalah. Walaupun Harakat 1 hingga 3, tetapi beliau hanya memberikan penekanan kepada "permulaan" harakat 1 hingga 3 sahaja. Beliau memberikan satu istilah yang baru bagi saya iaitu "pintu masuk" kepada harakat berkenaan. Beliau belum lagi menyentuh berkenaan dengan pentengahan dan penghujung harakat berkenaan yang sudah pastinya mempunyai beberapa pecahan yang kesemuanya mempunyai kelainan irama dan mempunyai namanya yang tersendiri.

Pandangan saya Ustaz telah menyampaikan pengajaran yang paling terperinchi berbanding dengan kelas-kelas yang saya pernah sertai sebelum ini. Sudah pastinya akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan satu-satu lagu. Disinilah perlunya kesabaran dan usaha yang berterusan. Bak kata Ustaz " Lama & Rajin" itulah kata-kunci nya.

Bagi yang tidak berpeluang menghadiri kelas semalam, anda masih belum terlambat. Sila hadir kelas berikutnya iaitu Selasa malam Rabu setiap minggu Insya Allah.

Saya perhatikan ramai yang tidak membawa perakam. Nasihat saya bawalah perakam samada kaset ataupun handphone atau apa sahaja yang boleh merakam suara supaya apa yang diajarkan dapat dibuat ulangkaji untuk menguasai apa yang ajar tanpa sebarang masalah. Saya hanya rakam menggunakan handphone sahaja. Rakaman agak kurang jelas. Handphone murah .....Made in China. hehehe. Ditambah lagi bila upload dalam blog ini jadi bertambah bising. Jadi pendek ceritanya kena datang sendiri. Cadangnya nak bawa DigiCam tapi terlupa. Dekat nak sampai masjid baru ingat...huhuhu...

Lagi satu jangan segan-segan nak cuba baca. Kita semua masih dalam belajar. Kalau tak baca, kita tidak akan tahu dimana kesilapan kita yang perlu diperbetulkan.

Note: Rakaman audio semalam sedang diusahakan untuk upload. Ada problem sikit.

Sekian.

Monday, January 31, 2011

Reminder : Kelas Tarannum

Salam,

Sebagai peringatan kepada semua peminat Tarannum, InsyaAllah kelas bermula malam ini. Marilah sama-sama kita menyertainya.

Sila rujuk posting yang lepas untuk maklumat lanjut.

Terima kasih..

Saturday, January 29, 2011

Panduan Menukar Tayar Kereta

Salam semua,

Posting kali ini keluar dari tajuk Tarannum. Bagaimanapun ia ada kaitannya dengan posting saya yang lalu yang bertajuk Itulah Takdirnya...menceritakan kemalangan yang disebabkan kenderaan yang terbabas.
Video ini pula menceritakan satu panduan yang berguna iaitu apabila kita menukarkan tayar kereta yang baru, tayar tersebut mestilah diletakkan di Belakang. Ini membantu kestabilan kenderaan semasa menghadapi keadaan jalan yang licin semasa/selepas hujan. Sila saksikan dan mengambil panduan ini sebagai amalan bersama.

Video ini diterima dari seorang sahabat beberapa hari lepas. Terima kasih kepada En Alier...

Terima kasih...


Tuesday, January 25, 2011

MTQ Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia 2011

Majlis Tadarrus Al-Quran Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (MTQSS) akan bermula tidak lama lagi. Pemilihan peringkat sekolah mungkin akan diadakan pada bulan Februari/awal Mac. Diikuti oleh peringkat Zon pada bulan Mac/awal April, peringkat Negeri dalam bulan April dan seterusnya peringkat Kebangsaan pada bulan May.

Bermula hari ini, persiapan perlu di lakukan dengan berterusan. Dengan iringan doa semoga Faris dan Muniefah akan sekali lagi berjaya melangkah ke Peringkat Kebangsaan mewakili Kuala Lumpur. Untuk tahun ini Negeri Pulau Pinang akan menjadi Tuan rumah di peringkat Kebangsaan.

Saya rasa ibubapa yang mempunyai anak-anak yang selalu menyertai majlis ini akan mempunyai perasaan yang sama. Bukan sahaja ibubapa, bahkan guru-guru yang terlibat. Faris dan Muniefah InsyaAllah akan dipilih sekali lagi mewakili sekolah berdasarkan pencapaian tahun lepas. Tugas saya adalah memberikan bimbingan dalam menyampaikan bacaan bertarannum setakat yang mampu. Jika ada peluang, saya sudah berazam akan membawa bersama mengikuti kelas bersama Ustaz Mohd Anuar di masjid Al-Muqarrabin nanti. Semoga pada tahun ini beliau ada sedikit peningkatan dalam kualiti bacaannya.

Beginilah saban tahun. Kadang-kadang "lebih sudu dari kuahnya". Anak-anak nampak relaks je. Kita pula lebih-lebih gabrah...huhuhu...

Marilah kita sama-sama menghayati Tema Tilawah tahun ini iaitu : Al-Quran Teras Kesejahteraan Umat Gemilang.

Thursday, January 13, 2011

Kelas Tarannum Al-Quran

Salam semua,

Memulakan langkah diawal tahun 2011 dengan semangat dan keazaman yang baru. Setelah merisik khabar beberapa waktu, pagi ini saya menerima berita gembira dari rakan sepengajian sebelum ini iaitu Kelas Tarannum Al-Quran Insya Allah akan diadakan semula di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi. Sebelum ini kelas ini tidak dapat diadakan disebabkan Imam 1 Ustaz Hassan telah bertukar ke masjid Bukit Aman.

Tenaga pengajar kali ini merupakan seorang Ustaz yang hebat. Beliau telah 2 tahun mewakili Kelantan dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan. Pada tahun lepas beliau telah mendapat Naib Johan. Beliau tak lain tak bukan, Ustaz Mohd Anuar Ghazali...seorang Qari muda yang sangat baik bacaannya.

Kelas Insya Allah akan bermula bulan Februari 2011 iaitu hari Selasa malam Rabu, selepas waktu Isyak. Insya Allah kelas pertama pada 1 Februari 2011. (sebarang perubahan akan dikemaskini)

Bagi sesiapa yang berminat sila sms nama dan Contact Number kepada saya di talian 013-3631234 (Nordin). Tujuannya adalah untuk meninjau sejauh mana sambutan terhadap kelas ini dan menetapkan jumlah sumbangan yang berpatutan kepada Ustaz. Jika ramai sambutannya, maka kuranglah sumbangan dari kita. Jika sebelum ini hanya RM20 sahaja. Ayuh saudara...marilah melangkah bersama....Jangan lepaskan peluang ini. Untuk mendapatkan bacaan yang baik....mestilah dari guru yang baik....Peluang belajar sudah dihidangkan untuk anda. Tinggal lagi usaha anda semua...

Hubungi saya segera....

Wassalam...

Wednesday, January 5, 2011

Itulah takdirnya.....

Salam semua,

Ramai yang mengambil cuti hujung tahun termasuklah saya. Dah jadi macam satu tradisi bagi kita semua yang bekerja dengan majikan samada kerajaan ataupun swasta. Ada yang mengambil kesempatan bercuti ditempat-tempat menarik didalam dan luar Negara. Itu bagi yang berduitlah….

Saya mengambil kesempatan bercuti untuk balik kampong di Kelantan. Bukan untuk makan angin tapi untuk menyiapkan Famiha Homestay di Tanah Merah Kelantan. Banyak kerja yang nak buat sebelum kami menerima tetamu. Alhamdulillah kini telah dibuka untuk tempahan pengunjung. Sudahpun ada pengunjung yang membuat tempahan untuk cuti tahun baru Cina nanti.

Apa yang saya nak kongsikan disini ialah saya hampir-hampir tidak dapat balik ke Kelantan sebagaimana dirancang. Sebabnya ialah kereta saya telah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46 lebuhraya Karak. Bahagian depan sebelah kanan rosak teruk. Lokasi kemalangan adalah lebih kurang 3 Km selepas Bukit Tinggi menghala ke Kuantan, berhampiran Simpang Berjaya Resort. Bagaimanapun saya serta anak-anak iaitu Faris dan Hazierah tidak mengalami sebarang kecederaan…Syukur Alhamdulillah. Bagaimanapun traumanya agak berpanjangan beberapa hari. Hingga tak terkata sebaik kemalangan itu berlaku. Kejadian berlaku terlalu pantas…Itulah takdir. Walaupun telah berhati-hati, ia tetap berlaku.

Selepas selesai membuat laporan polis, abang ipar saya dari Raub datang jemput dan kami bermalam di Raub pada malam tersebut. Keesokannya meneruskan perjalanan balik ke Kelantan dengan meminjam kereta anak saudara saya.

Saya kongsikan kisah ini untuk memberi ingatan kepada semua supaya lebih berhati-hati selepas kawasan Bukit Tinggi tersebut. Terdapat dua selekoh tajam dan menurut seorang yang berhenti menyaksikan kemalangan itu, tempat itu selalu berlaku kemalangan, tapi belum ada sebarang tindakan pencegahan yang diambil. Tindakan terbaik adalah dari diri kita sendiri. Perlahankan kenderaan setelah melalui Bukit Tinggi dengan kelajuan kurang 80Km sahaja untuk lebih selamat. Kemalangan yang berlaku bukan saya yang salah. Kereta dihadapan saya yang terbabas di laluan memotong. Sebaik sampai diselekoh berkenaan, saya nampak kereta berkenaan telahpun terbabas. Saya tidak sempat mengelak dan melanggar kereta berkenaan. Terdapat dua selekoh tajam di kawasan ini dan kemalangan saya ini berlaku diselekoh kedua. Jadi berhati-hatilah….Semoga kita semua dalam perlindungan Allah sentiasa hendaknya.

Hajat hatinya bila balik Kelantan dan ada peluang nak pergi mengadap Tn Guru Nik Jaafar di Kg Kangkong Pasir Mas. Namun waktu yang terbatas melenyapkan semuanya.....Semoga Allah mengizinkan di kesempatan yang lain....

Wassalam...