Sunday, March 13, 2011

Catatan Kelas tarannum 6

Salam semua,

Kelas Tarannum ke-6 telah melangkah setapak lagi dengan permulaan lagu Hijaz. Sebuah lagu yang mendayu tetapi tegas. Lagu ini juga biasa dibawakan dengan harakat Jawabul Jawab. Berasap jugak lah...Nada yang tinggi mungkin menyebabkan suara pecah jika tidak berhati-hati. Peluang baca dihadapan Ustaz tidak dilepaskan disebabkan ini lagu baru. Saya dan Faris telah baca dan alhamdulillah dapat membawa lagu yang diajarkan ini.

Sila ikuti rakaman dibawah dan praktis lagu hijaz ini harakat pertama dan kedua. Semoga ada manafaatnya.

Sekian, terima kasih.

Rakaman 6A
Rakaman 6B

Thursday, March 3, 2011

Perkongsian Maklumat

Salam semua,

Media internet sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita buat masa ini. Setiap hari melayari internet dengan pelbagai tujuan. Ada yang mempunyai tujuan yang baik. Ada juga yang mempunyai tujuan yang buruk seperti dengan niat menipu dan sebagainya. Buruk dan baik ada dimana-mana, bergantung kepada pilihan kita.

Saya seringkali merujuk kepada internet apabila ingin mencari maklumat sesuatu perkara. Daripada resepi sehingga kepada benda yang komplikated seperti nak repair TV dan komputer. Saya belajar repair komputer dulu pun melalui internet. Asas yang kita pernah belajar mungkin tidak mencukupi, namun daripada perkongsian ilmu dalam internet kita dapat memajukan diri dengan ilmu yang dapat memberi faedah kepada kita.

Begitulah juga dengan ilmu agama. Begitu banyak ilmu yang boleh diperolehi melalui internet. Tinggal lagi kita perlu menyaring dan tidak menerima bulat-bulat apa yang diperolehi. Sebarang keraguan perlu dirujuk kepada individu yang lebih mengetahui.

Halaman blog ini di wujudkan diatas dasar perkongsian ilmu. Insya Allah ada manafaatnya buat yang membacanya. Insya Allah juga dan dipohon kepada Allah supaya apa yang dikongsikan termasuk didalam 3 amalan yang berkekalan pahalanya walaupun nanti saya kembali menghadap Allah iaitu Ilmu yang bermanaat yang disebarkan. Walaupun sepatah perkataan, walaupun sebaris ayat, ianya pasti amat bermakna apabila kita kembali menghadap Allah. Inilah yang menjadi pembakar semangat dan memberi kekuatan untuk terus menghidupkan blog ini.

Saudara saudari,

Perkongsian ilmu ini akan lebih menarik apabila ada hubungan dua hala, daripada saya dan juga pembaca. Saya dapati ramai yang mengunjungi blog ini, tidak kurang 100 klik sehari, tetapi tiada komen yang diberikan. Ini menjadikan blog ini sunyi dan tiada "give and take". Tak tahulah apa sebabnya. Bagaimanapun tiada masalah bagi saya. Blog ini juga untuk rujukan saya sendiri....Untuk menjadikan blog ini lebih menarik, saya berhasrat memasukkan video, bagaimanapun ada sedikit masaalah, tapi tak ada siapa nak bantu. Malas nak bersusah payah kot!! tak tahulah...Masih menunggu dari seorang sahabat untuk bagi software proses video tersebut, belum sampai-sampai....nak minta berulang kali segan pula.....huhuhu....

Akhirnya saya nak coretkan disini iaitu Masjid Putrajaya dan Masjid Wilayah juga ada menganjurkan kelas Tarannum. Untuk Masjid Wilayah penyertaan telah ditutup. Mungkin boleh cuba intai-intai peluang ditahun depan. Pengambilan terhad 30 orang sahaja. ( pendapat saya tak sepatutnya begitu.....penyertaan yg ramai lebih baik sebab mungkin ramai yang "syahid" dipertengahan jalan....maaf ye..last sekali tinggal beberapa orang...Ustaz nak mengajar pun tak bersemangat).
Masjid Putrajaya saya tak pasti. Masa saya tanya bulan lepas masih boleh disertai sebab kelas baru bermula selepas Cuti tahun baru Cina. Dapatkan info dari website masjid Putrajaya.

Sekian perkongsian info hari ini.

Wassalam.

Wednesday, March 2, 2011

Catatan Kelas tarannum 5

Salam,


Alhamdulillah kelas Tarannum ke 5 telah berjalan dengan lancar seperti biasa. Saya juga perhatikan kehadiran pelajar semakin bertambah. Mungkin kaedah pengajaran yang diajarkan oleh Ustaz telah menarik minat ramai untuk turut serta. Ramai juga yang datang dari jauh seperti Kajang, Gombak, Sentul, Subang dan lain-lain.. Pada yang datang dari jauh ini saya boleh katakan dalam bahasa rock " wa respect sama lu"....Banyak pahala tu.!!

Kelas malam tersebut masih lagi berkisar kepada ulangkaji lagu Bayati. Pelajar dibukakan peluang untuk membaca harakat 1-3 kemudian disambung oleh pelajar lain dengan harakat 4-6. Pada malam ini ustaz menekankan berkenaan dengan Tabaqat (tingkatan) suara. Contoh disini adalah jika pelajar yang memulakan bacaan harakat 1-3 dengan nada yang agak tinggi...maka pelajar yang menyambung harakat 4-6 akan bermasalah disebabkan nada yang terlalu tinggi diperlukan untuk mengalunkan harakat berkenaan. Disinilah pentingnya penyesuaian tabaqat dengan nada suara yang kita ada. Jangan ikut orang lain, tapi nilailah diri sendiri, dimanakah tabaqat yang sesuai dengan suara kita.

Ramai yang salah faham dengan mengatakan " nada suara saya rendah...tak boleh bertarannum kerana Tarannum perlukan nada suara yang tinggi " Ini satu kesilapan....Mereka ini sebenarnya tidak memahami penggunaan tabaqat suara. Sesuaikan nada Do..re..mi.. itu dengan nada suara kita sendiri....

Saya berikan contoh Adik Muhammad Ahmad Zahid yang telah memenangi Naib Johan Akademi Al Quran musim ke-4 adalah diantara mereka yang mempunyai nada suara yang rendah. Bagaimanapun kemahiran beliau dalam penggunaan suara dan burdah-burdah lagu telah meletakkan beliau antara yang terbaik. Contoh yang kedua adalah Ustaz Yahya Daud yang pernah mewakili kelantan dan memenangi Tilawah Kebangsaan dan Antarabangsa (tahun saya tak ingat) adalah diantara mereka yang mempunyai nada suara yang rendah. Kalau tak guna mikrofon, suaranya amat perlahan. Tapi Burdah lagu dapat menghapuskan segala kelemahan tersebut sehingga mampu berjaya ke peringkat tersebut. Beliau juga adalah Mursyid bagi Tarannum dalam akademi Alquran yang ke-3.

Jadi jangan putus asa bagi tuan-tuan yang mempunyai nada suara yang rendah. Teruskan belajar dan Insya Allah akan faham dan dapat mengalunkan Tarannum Al Quran dengan baik.

Diakhir kelas Ustaz telah menunjukkan bagaimana lagu Bayati ini diserapkan kedalam ayat yang lain. Beliau telah memilih Surah Al-fatihah sebagai contoh. Sila dengar dari rakaman yang di sertakan. Perhatikan kesamaan nada setiap harakat dengan surah Al-Baqarah yang telah dipelajari sebelum ini.

Selamat mendengar....

Rakaman Kelas ke -5

Note :

Komen dari tuan-tuan amat dialu-alukan.