Monday, January 31, 2011

Reminder : Kelas Tarannum

Salam,

Sebagai peringatan kepada semua peminat Tarannum, InsyaAllah kelas bermula malam ini. Marilah sama-sama kita menyertainya.

Sila rujuk posting yang lepas untuk maklumat lanjut.

Terima kasih..

Saturday, January 29, 2011

Panduan Menukar Tayar Kereta

Salam semua,

Posting kali ini keluar dari tajuk Tarannum. Bagaimanapun ia ada kaitannya dengan posting saya yang lalu yang bertajuk Itulah Takdirnya...menceritakan kemalangan yang disebabkan kenderaan yang terbabas.
Video ini pula menceritakan satu panduan yang berguna iaitu apabila kita menukarkan tayar kereta yang baru, tayar tersebut mestilah diletakkan di Belakang. Ini membantu kestabilan kenderaan semasa menghadapi keadaan jalan yang licin semasa/selepas hujan. Sila saksikan dan mengambil panduan ini sebagai amalan bersama.

Video ini diterima dari seorang sahabat beberapa hari lepas. Terima kasih kepada En Alier...

Terima kasih...


Tuesday, January 25, 2011

MTQ Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia 2011

Majlis Tadarrus Al-Quran Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (MTQSS) akan bermula tidak lama lagi. Pemilihan peringkat sekolah mungkin akan diadakan pada bulan Februari/awal Mac. Diikuti oleh peringkat Zon pada bulan Mac/awal April, peringkat Negeri dalam bulan April dan seterusnya peringkat Kebangsaan pada bulan May.

Bermula hari ini, persiapan perlu di lakukan dengan berterusan. Dengan iringan doa semoga Faris dan Muniefah akan sekali lagi berjaya melangkah ke Peringkat Kebangsaan mewakili Kuala Lumpur. Untuk tahun ini Negeri Pulau Pinang akan menjadi Tuan rumah di peringkat Kebangsaan.

Saya rasa ibubapa yang mempunyai anak-anak yang selalu menyertai majlis ini akan mempunyai perasaan yang sama. Bukan sahaja ibubapa, bahkan guru-guru yang terlibat. Faris dan Muniefah InsyaAllah akan dipilih sekali lagi mewakili sekolah berdasarkan pencapaian tahun lepas. Tugas saya adalah memberikan bimbingan dalam menyampaikan bacaan bertarannum setakat yang mampu. Jika ada peluang, saya sudah berazam akan membawa bersama mengikuti kelas bersama Ustaz Mohd Anuar di masjid Al-Muqarrabin nanti. Semoga pada tahun ini beliau ada sedikit peningkatan dalam kualiti bacaannya.

Beginilah saban tahun. Kadang-kadang "lebih sudu dari kuahnya". Anak-anak nampak relaks je. Kita pula lebih-lebih gabrah...huhuhu...

Marilah kita sama-sama menghayati Tema Tilawah tahun ini iaitu : Al-Quran Teras Kesejahteraan Umat Gemilang.

Thursday, January 13, 2011

Kelas Tarannum Al-Quran

Salam semua,

Memulakan langkah diawal tahun 2011 dengan semangat dan keazaman yang baru. Setelah merisik khabar beberapa waktu, pagi ini saya menerima berita gembira dari rakan sepengajian sebelum ini iaitu Kelas Tarannum Al-Quran Insya Allah akan diadakan semula di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi. Sebelum ini kelas ini tidak dapat diadakan disebabkan Imam 1 Ustaz Hassan telah bertukar ke masjid Bukit Aman.

Tenaga pengajar kali ini merupakan seorang Ustaz yang hebat. Beliau telah 2 tahun mewakili Kelantan dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan. Pada tahun lepas beliau telah mendapat Naib Johan. Beliau tak lain tak bukan, Ustaz Mohd Anuar Ghazali...seorang Qari muda yang sangat baik bacaannya.

Kelas Insya Allah akan bermula bulan Februari 2011 iaitu hari Selasa malam Rabu, selepas waktu Isyak. Insya Allah kelas pertama pada 1 Februari 2011. (sebarang perubahan akan dikemaskini)

Bagi sesiapa yang berminat sila sms nama dan Contact Number kepada saya di talian 013-3631234 (Nordin). Tujuannya adalah untuk meninjau sejauh mana sambutan terhadap kelas ini dan menetapkan jumlah sumbangan yang berpatutan kepada Ustaz. Jika ramai sambutannya, maka kuranglah sumbangan dari kita. Jika sebelum ini hanya RM20 sahaja. Ayuh saudara...marilah melangkah bersama....Jangan lepaskan peluang ini. Untuk mendapatkan bacaan yang baik....mestilah dari guru yang baik....Peluang belajar sudah dihidangkan untuk anda. Tinggal lagi usaha anda semua...

Hubungi saya segera....

Wassalam...

Wednesday, January 5, 2011

Itulah takdirnya.....

Salam semua,

Ramai yang mengambil cuti hujung tahun termasuklah saya. Dah jadi macam satu tradisi bagi kita semua yang bekerja dengan majikan samada kerajaan ataupun swasta. Ada yang mengambil kesempatan bercuti ditempat-tempat menarik didalam dan luar Negara. Itu bagi yang berduitlah….

Saya mengambil kesempatan bercuti untuk balik kampong di Kelantan. Bukan untuk makan angin tapi untuk menyiapkan Famiha Homestay di Tanah Merah Kelantan. Banyak kerja yang nak buat sebelum kami menerima tetamu. Alhamdulillah kini telah dibuka untuk tempahan pengunjung. Sudahpun ada pengunjung yang membuat tempahan untuk cuti tahun baru Cina nanti.

Apa yang saya nak kongsikan disini ialah saya hampir-hampir tidak dapat balik ke Kelantan sebagaimana dirancang. Sebabnya ialah kereta saya telah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46 lebuhraya Karak. Bahagian depan sebelah kanan rosak teruk. Lokasi kemalangan adalah lebih kurang 3 Km selepas Bukit Tinggi menghala ke Kuantan, berhampiran Simpang Berjaya Resort. Bagaimanapun saya serta anak-anak iaitu Faris dan Hazierah tidak mengalami sebarang kecederaan…Syukur Alhamdulillah. Bagaimanapun traumanya agak berpanjangan beberapa hari. Hingga tak terkata sebaik kemalangan itu berlaku. Kejadian berlaku terlalu pantas…Itulah takdir. Walaupun telah berhati-hati, ia tetap berlaku.

Selepas selesai membuat laporan polis, abang ipar saya dari Raub datang jemput dan kami bermalam di Raub pada malam tersebut. Keesokannya meneruskan perjalanan balik ke Kelantan dengan meminjam kereta anak saudara saya.

Saya kongsikan kisah ini untuk memberi ingatan kepada semua supaya lebih berhati-hati selepas kawasan Bukit Tinggi tersebut. Terdapat dua selekoh tajam dan menurut seorang yang berhenti menyaksikan kemalangan itu, tempat itu selalu berlaku kemalangan, tapi belum ada sebarang tindakan pencegahan yang diambil. Tindakan terbaik adalah dari diri kita sendiri. Perlahankan kenderaan setelah melalui Bukit Tinggi dengan kelajuan kurang 80Km sahaja untuk lebih selamat. Kemalangan yang berlaku bukan saya yang salah. Kereta dihadapan saya yang terbabas di laluan memotong. Sebaik sampai diselekoh berkenaan, saya nampak kereta berkenaan telahpun terbabas. Saya tidak sempat mengelak dan melanggar kereta berkenaan. Terdapat dua selekoh tajam di kawasan ini dan kemalangan saya ini berlaku diselekoh kedua. Jadi berhati-hatilah….Semoga kita semua dalam perlindungan Allah sentiasa hendaknya.

Hajat hatinya bila balik Kelantan dan ada peluang nak pergi mengadap Tn Guru Nik Jaafar di Kg Kangkong Pasir Mas. Namun waktu yang terbatas melenyapkan semuanya.....Semoga Allah mengizinkan di kesempatan yang lain....

Wassalam...