Tuesday, October 19, 2010

Peraturan Tilawah di Malaysia (2)

Berikut adalah sambungan ......

Bahagian Tarannum

Perkara-perkara yang dititik beratkan dalam penghakiman bahagian tarannum ialah seperti berikut:
a. Menggunakan tarannum bil Quran dengan sekurang-kurangnya empat jenis tarannum termasuk dua jenis tarannum yang ditetapkan tanpa mengira jenis tarannum yang dimulakan;
b. Setiap tarannum bil Quran hendaklah disempurnakan secara teratur sekurang-kurangnya dalam empat harakat tanpa bercampur aduk atau takrir;
c. Setiap tarannum bil Quran hendaklah dibawa dalam tiga tingkatan (tabaqat) suara iaitu:
i. rendah, sederhana dan tinggi; atau
ii. sederhana, tinggi dan tertinggi.
d. Setiap tarannum bil Quran hendaklah dibawa dengan teratur dan tersusun satu demi satu tanpa bercampur aduk antara satu sama lain kecuali wuslah al-mumathalah;
e. Menunaikan wuslah al-mumathalah sekurang-kurangnya sekali dalam satu bacaan;
f. Setiap tarannum bil Quran yang dibawa pada ayat yang akhir (penutup) hendaklah sama dengan lagu yang dibawa pada ayat permulaan, iaitu sebelum berakhir tempoh masa yang ditetapkan;
g. Persembahan yang dikira istimewa dalam bidang tarannum hendaklah mengandungi ciri-ciri seperti berikut:
i. Tarannum bil Quran yang mempunyai lahjah Arab dan qit’ah-qit’ah yang menarik;
ii. Tarannum bil Quran yang dibawa mempunyai wuslah al-mumathalah yang menarik lebih daripada sekali dalam satu bacaan;
iii. Mempunyai kecekapan membawa tarannum bil Quran lain selain daripada tarannum bil Quran wajib, sekurang-kurangnya dalam dua harakat dalam tempoh bacaan yang ditentukan;
iv. Setiap tarannum bil Quran mengandungi lebih daripada empat harakat yang teratur dan menarik;
v. Tarannum bil Quran yang mempunyai unsur-unsur tersendiri tanpa meniru mana-mana qari yang masyhur;
vi Dapat menyesuaikan tarannum bil Quran dengan kehendak makna ayat tanpa lari daripada kaedah Tajwid dan Usul;
vii. Membawa burdah-burdah tarannum bil Quran yang menarik;
viii. Setiap persembahan tarannum hendaklah disempurnakan empat tabaqat; dan
ix. Bacaan yang mempunyai salalim nuzul atau salalim su’ud yang menarik pada setiap tarannum dalam mana-mana harakat;
h. Kaedah dan peraturan pemotongan markah dalam bidang tarannum bil Quran ialah seperti berikut:
i. Membaca kurang daripada empat jenis tarannum – setiap satu tarannum wajib yang ditinggalkan dipotong empat markah;
ii. Tidak membaca dua jenis tarannum yang ditetapkan, setiap satu daripada dua tarannum yang ditinggalkan dipotong empat markah;
iii. Membaca kurang daripada empat harakat bagi setiap tarannum – setiap satu harakat yang kurang dipotong satu markah;
iv. Tidak membawa tiga tabaqat bagi setiap tarannum – setiap satu tabaqat yang tidak dibawa dipotong satu markah;
v. Sumbang yang merosakkan tarannum – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
vi. Terputus nafas yang merosakkan tarannum – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
vii. Tarannum yang bercampur aduk – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
viii. Takrir pada tarannum – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
ix. Takrir pada harakat – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
x. Meniru sepenuhnya bacaan mana-mana qari yang mashyur – dipotong satu markah;
xi. Tidak membawa satu wuslah al-mumathalah dan ikhtilal al-lahn bagi satu bacaan – dipotong satu markah;
xii. Tarannum penutup tidak sama dengan tarannum pembukaan – dipotong satu markah; dan
xiii. Jika berulang-ulang pada kesalahan yang sama, hendaklah dipotong markahnya dengan kadar tidak melebihi lima markah.

Bersambung ke Bahagian Fasahah....

No comments:

Post a Comment