Tuesday, October 19, 2010

Peraturan Tilawah di Malaysia (1)

Salam semua,

Pernahkah saudara membaca peraturan Tilawah yang dikeluarkan oleh JAKIM. Satu bahagian yang penting yang ingin di kongsikan disini adalah bahagian penghakiman. Semoga menjadi panduan dan sedikit sebanyak memberikan pengetahuan kepada pembaca-pembaca Al-Quran semua yang belum pernah membacanya.


BAHAGIAN-BAHAGIAN PENGHAKIMAN

Bahagian-bahagian penghakiman ialah seperti berikut:
a. Tajwid, dengan wajaran 40 markah;
b. Tarannum, dengan wajaran 25 markah;
c. Fasahah, dengan wajaran 20 markah; dan
d. Suara dengan wajaran 15 markah.

Untuk posting kali ini kita lihat Bahagian Tajwid sahaja.

Bahagian Tajwid
Perkara-perkara yang dititik beratkan dalam penghakiman bahagian Tajwid adalah seperti berikut:
• Menjaga segala hukum Tajwid dengan sempurna, terutama mengenai perkara-perkara yang dihuraikan di bawah ini selanjutnya;
• Menyebut dengan betul setiap makhraj dan sifat huruf serta lain-lain dari segi tebal dan nipisnya;
• Menjaga hukum-hukum Tarqiq dan Tafkhim terutama pada huruf lam dan ra’;
• Mad Asli, Mad Tabii dan Mad Badal tetap dengan kadar panjang dua harakat;
• Mad Jaiz Munfasil boleh dibaca dengan dua harakat atau empat harakat atau lima harakat. Setiap peserta boleh memilih salah satu daripada wajah-wajah Mad Jaiz Munfasil mengikut thoriq yang dibaca oleh peserta. Sekiranya ia memilih salah satu daripadanya, ia hendaklah meneruskan bacaannya atas wajah itu tanpa berpindah kepada wajah yang lain. Sekiranya terdapat dua Mad Jaiz Munfasil atau lebih dalam sesuatu ayat, maka hendaklah disamakan kadar panjang mad itu, iaitu jika dibaca dengan empat harakat pada Mad Jaiz Munsafil pertama, maka hendaklah dibaca dengan empat harakat juga pada Mad Jaiz Munsafil kedua, demikianlah seterusnya;
• Mad Wajib Muttasil hendaklah dibaca dengan kadar panjang empat harakat, atau lima harakat, atau enam harakat ketika waqaf. Kadar panjang bacaannya hendaklah diselaraskan;
• Mad Lazim hendaklah panjang bacaannya dengan kadar enam harakat,
• manakala mad istifham/mad farq boleh dibaca dengan dua wajah iaitu bacaan ibdal atau tashil;
• Mad ‘Aridh dibaca dengan kadar panjang dua atau empat atau enam hakarat ketika waqaf sahaja;
• Mad Silah hendaklah dibaca dengan kadar dua harakat, tetapi sekiranya selepas Mad Silah terdapat sebab, yakni hamzah selepasnya. Maka hendaklah dibaca dengan kadar panjangnya seperti Mad Jaiz Munfasil;
• Ghunnah dibaca dengan kadar dua harakat, sama ada dalam keadaan waqaf dan wasal;
• Riwayat yang dijadikan asas pegangan ialah Riwayat Hafs; dan Mengenai isymam dan raum, saktah, tashil dan ibdal, naql, silah dan imalah ialah seperti mengikut thoriq bacaan yang dipilih oleh peserta seperti berikut:
i. isymam/raum
ii. saktah
iii. tashil/ibdal
iv. naql
v. Silah
vi. imalah
• Persembahan yang dikira istimewa dalam bidang Tajwid hendaklah mengandungi ciri-ciri seperti berikut:
i. Dapat menyempurnakan riwayat qiraat dan thoriq bacaan dengan
sempurna;
ii. Dapat menyamai kadar panjang hukum mad;
iii. Dapat menyempurnakan sebutan huruf dan sifatnya; dan
iv. Dapat menyempurnakan sifat-sifat ghunnah;
• Kaedah dan peraturan pemotongan markah dalam bidang Tajwid ialah seperti berikut:

i. Perkara –perkara yang dihakimi ialah:
1. bacaan mengikut Riwayat Hafs Tariq al-Imam al-Syatibi/al-Imam Ibn
al-Jazari;
2. makhraj dan sifat huruf;
3. hukum nun dan mim sakinah dan tanwin;
4. hukum nun dan mim musyaddadah;
5. hukum ra’ dan lam;
6. hukum saktah, imalah dan ibdal;
7. hukum mad asli dan farii; dan
8. hukum-hukum tajwid yang lain.
ii. Setiap satu kesalahan khafi dipotong satu markah; dan
iii. Setiap satu kesalahan jali dipotong dua markah.


Daripada syarat-syarat yang telah dikongsikan diatas, sekarang tuan-tuan telah mengetahui kriteria penilaian pembacaan Al-Quran yang baik sebagaimana yang dituntut didalam pembacaan AL-Quran. Jadi masing-masing semaklah diri sendiri dimana kekurangan kita, apa lagi yang kita belum tahu dan belum mahir dan InsyaAllah kita sama-sama berusaha memperbaikinya.

Sekian,

1 comment:

  1. Bagaimana markah tersebut diperincikan ? Cth : silap makhraj, beraba markah dipotong, silap sifat, silap mad dsb. Bagaimana pula klu kesilapan yg sama berulang ?

    ReplyDelete