Monday, January 31, 2011

Reminder : Kelas Tarannum

Salam,

Sebagai peringatan kepada semua peminat Tarannum, InsyaAllah kelas bermula malam ini. Marilah sama-sama kita menyertainya.

Sila rujuk posting yang lepas untuk maklumat lanjut.

Terima kasih..

Saturday, January 29, 2011

Panduan Menukar Tayar Kereta

Salam semua,

Posting kali ini keluar dari tajuk Tarannum. Bagaimanapun ia ada kaitannya dengan posting saya yang lalu yang bertajuk Itulah Takdirnya...menceritakan kemalangan yang disebabkan kenderaan yang terbabas.
Video ini pula menceritakan satu panduan yang berguna iaitu apabila kita menukarkan tayar kereta yang baru, tayar tersebut mestilah diletakkan di Belakang. Ini membantu kestabilan kenderaan semasa menghadapi keadaan jalan yang licin semasa/selepas hujan. Sila saksikan dan mengambil panduan ini sebagai amalan bersama.

Video ini diterima dari seorang sahabat beberapa hari lepas. Terima kasih kepada En Alier...

Terima kasih...


Tuesday, January 25, 2011

MTQ Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia 2011

Majlis Tadarrus Al-Quran Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (MTQSS) akan bermula tidak lama lagi. Pemilihan peringkat sekolah mungkin akan diadakan pada bulan Februari/awal Mac. Diikuti oleh peringkat Zon pada bulan Mac/awal April, peringkat Negeri dalam bulan April dan seterusnya peringkat Kebangsaan pada bulan May.

Bermula hari ini, persiapan perlu di lakukan dengan berterusan. Dengan iringan doa semoga Faris dan Muniefah akan sekali lagi berjaya melangkah ke Peringkat Kebangsaan mewakili Kuala Lumpur. Untuk tahun ini Negeri Pulau Pinang akan menjadi Tuan rumah di peringkat Kebangsaan.

Saya rasa ibubapa yang mempunyai anak-anak yang selalu menyertai majlis ini akan mempunyai perasaan yang sama. Bukan sahaja ibubapa, bahkan guru-guru yang terlibat. Faris dan Muniefah InsyaAllah akan dipilih sekali lagi mewakili sekolah berdasarkan pencapaian tahun lepas. Tugas saya adalah memberikan bimbingan dalam menyampaikan bacaan bertarannum setakat yang mampu. Jika ada peluang, saya sudah berazam akan membawa bersama mengikuti kelas bersama Ustaz Mohd Anuar di masjid Al-Muqarrabin nanti. Semoga pada tahun ini beliau ada sedikit peningkatan dalam kualiti bacaannya.

Beginilah saban tahun. Kadang-kadang "lebih sudu dari kuahnya". Anak-anak nampak relaks je. Kita pula lebih-lebih gabrah...huhuhu...

Marilah kita sama-sama menghayati Tema Tilawah tahun ini iaitu : Al-Quran Teras Kesejahteraan Umat Gemilang.

Thursday, January 13, 2011

Kelas Tarannum Al-Quran

Salam semua,

Memulakan langkah diawal tahun 2011 dengan semangat dan keazaman yang baru. Setelah merisik khabar beberapa waktu, pagi ini saya menerima berita gembira dari rakan sepengajian sebelum ini iaitu Kelas Tarannum Al-Quran Insya Allah akan diadakan semula di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi. Sebelum ini kelas ini tidak dapat diadakan disebabkan Imam 1 Ustaz Hassan telah bertukar ke masjid Bukit Aman.

Tenaga pengajar kali ini merupakan seorang Ustaz yang hebat. Beliau telah 2 tahun mewakili Kelantan dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan. Pada tahun lepas beliau telah mendapat Naib Johan. Beliau tak lain tak bukan, Ustaz Mohd Anuar Ghazali...seorang Qari muda yang sangat baik bacaannya.

Kelas Insya Allah akan bermula bulan Februari 2011 iaitu hari Selasa malam Rabu, selepas waktu Isyak. Insya Allah kelas pertama pada 1 Februari 2011. (sebarang perubahan akan dikemaskini)

Bagi sesiapa yang berminat sila sms nama dan Contact Number kepada saya di talian 013-3631234 (Nordin). Tujuannya adalah untuk meninjau sejauh mana sambutan terhadap kelas ini dan menetapkan jumlah sumbangan yang berpatutan kepada Ustaz. Jika ramai sambutannya, maka kuranglah sumbangan dari kita. Jika sebelum ini hanya RM20 sahaja. Ayuh saudara...marilah melangkah bersama....Jangan lepaskan peluang ini. Untuk mendapatkan bacaan yang baik....mestilah dari guru yang baik....Peluang belajar sudah dihidangkan untuk anda. Tinggal lagi usaha anda semua...

Hubungi saya segera....

Wassalam...

Wednesday, January 5, 2011

Itulah takdirnya.....

Salam semua,

Ramai yang mengambil cuti hujung tahun termasuklah saya. Dah jadi macam satu tradisi bagi kita semua yang bekerja dengan majikan samada kerajaan ataupun swasta. Ada yang mengambil kesempatan bercuti ditempat-tempat menarik didalam dan luar Negara. Itu bagi yang berduitlah….

Saya mengambil kesempatan bercuti untuk balik kampong di Kelantan. Bukan untuk makan angin tapi untuk menyiapkan Famiha Homestay di Tanah Merah Kelantan. Banyak kerja yang nak buat sebelum kami menerima tetamu. Alhamdulillah kini telah dibuka untuk tempahan pengunjung. Sudahpun ada pengunjung yang membuat tempahan untuk cuti tahun baru Cina nanti.

Apa yang saya nak kongsikan disini ialah saya hampir-hampir tidak dapat balik ke Kelantan sebagaimana dirancang. Sebabnya ialah kereta saya telah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46 lebuhraya Karak. Bahagian depan sebelah kanan rosak teruk. Lokasi kemalangan adalah lebih kurang 3 Km selepas Bukit Tinggi menghala ke Kuantan, berhampiran Simpang Berjaya Resort. Bagaimanapun saya serta anak-anak iaitu Faris dan Hazierah tidak mengalami sebarang kecederaan…Syukur Alhamdulillah. Bagaimanapun traumanya agak berpanjangan beberapa hari. Hingga tak terkata sebaik kemalangan itu berlaku. Kejadian berlaku terlalu pantas…Itulah takdir. Walaupun telah berhati-hati, ia tetap berlaku.

Selepas selesai membuat laporan polis, abang ipar saya dari Raub datang jemput dan kami bermalam di Raub pada malam tersebut. Keesokannya meneruskan perjalanan balik ke Kelantan dengan meminjam kereta anak saudara saya.

Saya kongsikan kisah ini untuk memberi ingatan kepada semua supaya lebih berhati-hati selepas kawasan Bukit Tinggi tersebut. Terdapat dua selekoh tajam dan menurut seorang yang berhenti menyaksikan kemalangan itu, tempat itu selalu berlaku kemalangan, tapi belum ada sebarang tindakan pencegahan yang diambil. Tindakan terbaik adalah dari diri kita sendiri. Perlahankan kenderaan setelah melalui Bukit Tinggi dengan kelajuan kurang 80Km sahaja untuk lebih selamat. Kemalangan yang berlaku bukan saya yang salah. Kereta dihadapan saya yang terbabas di laluan memotong. Sebaik sampai diselekoh berkenaan, saya nampak kereta berkenaan telahpun terbabas. Saya tidak sempat mengelak dan melanggar kereta berkenaan. Terdapat dua selekoh tajam di kawasan ini dan kemalangan saya ini berlaku diselekoh kedua. Jadi berhati-hatilah….Semoga kita semua dalam perlindungan Allah sentiasa hendaknya.

Hajat hatinya bila balik Kelantan dan ada peluang nak pergi mengadap Tn Guru Nik Jaafar di Kg Kangkong Pasir Mas. Namun waktu yang terbatas melenyapkan semuanya.....Semoga Allah mengizinkan di kesempatan yang lain....

Wassalam...

Saturday, December 25, 2010

Panduan Belajar Tarannum

Salam semua,

Ada yang bertanyakan bagaimanakah cara belajar tarannum dengan cepat dan mudah. :-) Memang sifat semulajadi manusia mahukan sesuatu dengan cara yang cepat dan mudah macam mee segera. Ada juga Ustaz yang menganjurkan belajar Tarannum Cara Mudah dan Cepat. Bagaimanapun keberkesanannya pada saya menjadi persoalan.

Adakah belajar tarannum itu sukar? Jika diajukan pertanyaan itu pada saya, jawapan saya adalah Tidak. Sebabnya anak-anak yang berumur bawah 12 tahun ramai yang dapat menguasai ilmu Tarannum. Jika sukar ...pasti mereka tidak akan mampu menguasainya.
Apakah sebenarnya "kata kunci" untuk mempelajari ilmu ini. Pada saya adalah "Usaha yang berterusan" menjadi titik tolak kepada semua kejayaan. Peruntukkan sedikit masa untuk mempelajari ilmu ini. 30 minit selepas Maghrib sudah lebih dari mencukupi.

Mempelajari tarannum tidak dapat dipelajari dalam masa seminggu atau sebulan. Ianya akan mengambil masa bertahun untuk menjadi Qari/Qariah yang baik. Datuk Faizul yang menjadi Johan Antarabangsa pada tahun 2003 telah berulangalik daripada Jerantut Pahang kerumah Tn Guru Nik Jaafar di Pasir Mas Kelantan selama lebih kurang 5 tahun sebelum menyertai Tilawah pada tahun 2003 tersebut. Kadang-kadang saya malu dengan diri sendiri untuk menyertai kelas di Menara TM setiap hari Jumaat pun tidak berkesempatan. Bukan saya tidak mahu sebenarnya, cuma masa agak tidak sesuai pada saya yang berada agak jauh dari Menara TM iaitu 5.30-6.30pm. Mungkin perlu dilewatkan sikit.

Banyak kelas yang telah saya sertai. Bermula daripada Kelas Tarannum anjuran BAKIT Terengganu, kemudian Kelas Tarannum Masjid Pandan Indah, kelas Tarannum Masjid Al-Muqarrabin, Kelas Tarannum TM Annexe 1 dan Kelas Tarannum Masjid Putrajaya. Hampir semuanya mempunyai fenomena yang hampir sama iaitu ramai pelajar hanya pada permulaan sahaja. Bila kelas berjalan dari satu minggu ke satu minggu, bilangan pelajar akan berkurangan dan akhir sekali hanya tinggal beberapa orang sahaja. Adakah kerana merasakan belajar Tarannum itu sukar? Jawapannya tidak ada pada saya. Cuma saya berpendapat pelajar berkenaan tidak mempunyai semangat yang kental serta minat yang mendalam kepada Ilmu Tarannum yang menyebabkan belajar hanya separuh jalan. Jadi ingatan saya kepada semua, belajarlah kerana Allah untuk diri sendiri. Jika diberikan ilmu, ajarkan pada anak-anak, itu sudah lebih dari mencukupi....

Bagi yang baru mempelajari Tarannum saya mempunyai sedikit panduan untuk di kongsikan.

1. Persiapan minda iaitu ikhlas belajar kerana Allah. Membaca Al-Quran itu amat tinggi ganjarannya daripada Allah. Sila rujuk kitab-kitab yang banyak sekali sekali menceritakan kelebihan Al-Quran ini. Dalam Internet pun banyak diceritakan.

2. Belajar Tarannum dengan sabar dan penuh minat. Jangan terburu-buru mengejar untuk menghabiskan 7 lagu semuanya tetapi akhirnya 1 lagu pun tidak melekat didalam minda dan tidak dapat dikuasai.

3. Belajar lagu Harakat demi harakat. Ulang harakat yang sama berulang kali tanpa rasa jemu sehingga iramanya melekat di dalam diri. Saya selalu memberikan contoh semasa memasuki darjah 1 sekolah rendah dahulu. Kita tidak diajar untuk menyanyikan lagu Negaraku. Setiap kali perhimpunan, pelajar senior akan menyanyikan lagu tersebut dan kita sebagai pelajar yang baru masuk akan dengar dengan penuh penghayatan sebabnya kita tak boleh bercakap semasa lagu Negaraku dinyanyikan. Lama-kelamaan kita dapat menyanyikan lagu tersebut !!! Betul tak?? Begitulah juga dengan irama lagu Tarannum... Jangan harapkan sewaktu didalam kelas sahaja. Sebaliknya perlu membuat ulangkaji semasa dirumah. Oleh sebab itu rakaman semasa didalam kelas Amat perlu untuk tujuan ulangkaji..... Rakaman kelas pertama bersama Ustaz Hafaz (Naib Johan AQ2) masih saya simpan sehingga ke hari ini. Mungkin semasa kelas kita tidak dapat “menyerap” /menghayati irama yang diajarkan, tapi bila kita balik dan dengar berulang-ulang kali, kita akan mula faham irama lagu berkenaan.

4. Jangan malu untuk cuba melagukan lagu yang diajarkan. Biarpun iramanya sumbang..Tanpa mencuba, kita tidak akan berjaya. Tidak ada orang yang dapat terus berlari. Semua orang bermula dari merangkak, kemudian berjalan dan berlari….Kemudian setelah difahami lagu-lagu yang diajarkan itu, cuba lagukan kepada ayat-ayat lain yang tidak pernah diajarkan…Inilah sebenarnya yang kita mahukan. Dapat melagukan apa juga lagu didalam mana-mana ayat tanpa sebarang masalah.

5. Dapatkan irama yang asas terlebih dahulu, kemudian baru berusaha kearah mencanggihkan bacaan dengan memasukkan unsur-unsur tambahan seperti Burdah halus, Wuslah, Ikhtilal dan mempelajari cabang-cabang lagu yang lain. Ini akan memakan masa bertahun-tahun pastinya.

6. Dapatkan guru-guru yang mempunyai ilmu tarannum untuk membimbing kita mempelajari ilmu ini. Mempelajari daripada komputer, VCD dan kaset hanyalah sebagai tambahan dan ulangkaji sahaja. Guru-guru akan memberikan tunjuk ajar yang lebih berkesan dalam memahami ilmu ini.

Itu adalah sedikit panduan yang dapat dikongsikan buat masa ini…

Sekian wassalam…

Friday, December 17, 2010

Ulangkaji Belajar Tarannum Bayati, Nahwan, Rast dan Jiharkah

Bacaan penuh lagu Bayati, Nahwan, Rast dan Jiharkah. Pastikan anda telah mengikuti posting yang telah lalu kerana ianya di ajarkan secara lebih detail. Posting ini hanya membantu anda mengingati dan membuat ulangkaji kesemua lagu yang telah diajarkan secara cepat.

Semoga ada manafaatnya buat semua.