Tuesday, August 3, 2010

LAMBAIAN KAABAH : Nordin Jusoh – 3 Ogos 2010 / 22 Syaaban 1431H


Semenjak tiga tahun lepas saya memasang niat untuk menunaikan umrah. Masa itu ada sedikit Business yang dijalankan. Hajatnya untuk menabung dan pergi menunaikan umrah bersama isteri jika keuntungan berterusan. Bagaimanapun business itu tidak bertahan lama dan kini telah berkubur. Harapan hanya tinggal harapan yang tidak kesampaian.

Pada tahun ini tidak sebagaimana tahun-tahun yang lepas. Usaha saya dalam membuat persiapan untuk menyertai Tilawah TM tidak seberapa. Tidak ada menyertai kelas sebagaimana sebelumnya. Sebelum ini pada tahun 2009, saya mengikuti kelas Tarannum anjuran Masjid Putrajaya. Tenaga pengajarnya adalah Ustaz Anuar Hasin dan Ustaz Tarmizi. Pada tahun 2007 dan 2008 saya belajar di Masjid Al-Muqarrabin, Sungai Besi bersama Ustaz Hassan Fadhli Al-Hafiz. Bagaimanapun tahun ini tiada kelas yang dapat saya sertai. Walaupun di Menara TM ada kelas Tarannum yang dianjurkan, masa tidak mengizinkan kerana kelas diadakan sebelah petang. Perjalanan ke Menara TM saja sudah mengambil masa 30 minit dari pejabat di Serdang. Nak pergi ke rumah Ustaz pun tak berkesempatan. Selalu saja ada macam-macam hal.

Dengan sedikit ilmu yang ada saya ajarkan anak-anak asas-asas ilmu Tarannum. Dengan cara ini saya dapat memahirkan diri dengan lagu-lagu yang telah dipelajari. Apa-apa ilmu sekali pun, jika kita ajarkan pada orang lain, insyaAllah ilmu kita sendiri akan bertambah.

Tilawah peringkat sekolah rendah anjuran Kementerian Pelajaran telah bermula seawal bulan April 2010. Saya telah menyibukkan diri dengan membuat persiapan anak-anak untuk mengambil bahagaian dalam tilawah berkenaan. Bermula dengan peringkat Zon, berjaya melangkah ke pringkat Negeri dan seterusnya ke pringkat Kebangsaan. Walaupaun tewas di peringkat kebangsaan, tapi itu sebenarnya satu kejayaan peribadi yang amat berharga. Peringkat kebangsaan menampilkan peserta yang amat baik bacaanya dimana saya sendiripun tidak mampu menandinginya walaupan mereka itu semuanya kanak-kanak dibawah 12 tahun. Apa yang saya ada, itulah yang anak-anak dapat. Untuk mendapat lebih lagi, mereka perlu dihantar kepada guru-guru yang lebih baik. InsyaAllah ini akan dilakukan ..

Habis saja peringkat sekolah, bersambung pula Tilawah TM untuk tahun 2010. Bermula dengan peringkat Negeri kemudiannya Peringkat kebangsaan. Begitulah diari kehidupan buat masa ini. Terasa masa terlalu pantas. Inilah yang menyebabkan saya hilang tumpuan kepada persiapan diri sendiri untuk Tilawah tahun ini. Tumpuan lebih diberikan untuk anak-anak. Kami juga telah berpindah rumah pada bulan Jun 2010. Tahu sajalah bila dah pindah rumah maka macam-macam hal...Sangat memenatkan...pendek kata pukul 10 lebih dah melepek..lepas saja ajar anak-anak mengaji...mata dah layu. Nak mengaji pun dah tak ada kekuatan.....

Tilawah TM peringkat Negeri Wilayah Persekutuan/Selangor pada tahun ini melakar sejarah baru. Pertamanya dengan penyertaan yang paling ramai iaitu seramai 9 orang. Kebiasaanya sekitar 5 orang saja. Ini menyebabkan pihak penganjur telah memutuskan untuk mengadakan saringan untuk memilih 5 orang sahaja ke peringkat Negeri. Alhamdulillah saya telah berjaya melepasi peringkat saringan tersebut. Keduanya adalah dengan penyertaan sahabat baru Nur Aslam yang merupakan diantara 12 orang peserta terbaik Akademi Al-Quran Musim ke-empat. Bacaannya sangat baik. Burdahnya...masyaAllah...amat menarik.... Siap ada Wuslah lagi....dan pendek kata bakal menggantikan Ustaz Saufi yang menjadi Johan sebanyak ...tak silap saya 9 kali...Tapi yang pastinya sahabat ana ini tak akan dapat memecahkan rekod Ustaz Saufi. Sebabnya ialah....Jawatankuasa penganjur telah memutuskan sekarang ini Johan hanya dibenarkan 3 kali sahaja. Selepas itu tak dibenarkan lagi menyertai kategori yang sama. Kategori Hafazan masih boleh.....

Melangkah ke peringkat kebangsaan dengan kurang persiapan. Tumpuan kepada anak-anak diutamakan. Kepenatan berpindah dan menyiapkan rumah. Sampai sekarang pun banyak yang masih belum siap. Pagar belum cat. Grill belum buat. Barang-barang pun ada yang belum dikemaskan. Satu bilik tu dah jadi macam bilik stor. Lebih kurang begitulah......huhuhu.....

Tahun ini kami menginap di Hotel untuk menyenangkan kami berulang alik ke lokasi Tilawah. Jika tahun sebelum ini, saya menginap dirumah saja. Disebabkan jadual yang agak padat, kami tidak punya banyak masa untuk berulangalik. Duduk hotel pun free..Apa lagi kami diperuntukkan 3 bilik disebabkan setiap peserta dan pengiring layak mendapat satu bilik. Ikut kelayakan kami dapat 4 bilik disebabkan kami sekeluarga seramai 4 peserta. Bagaimanapun satu bilik diserahkan kepada penganjur untuk AJK.

Selepas selesai menunaikan solat Jumaat, kami bersiap-siap untuk melaporkan diri di Hotel Summer View, Brickfield. Hotel yang menempatkan peserta dari Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Sarawak. Alhamdulillah semua urusan pendaftaran berjalan lancar walaupun pakaian untuk peserta Kuala Lumpur agak lewat tiba. Tapi tidak menjadi masalah disebabkan majlis pembukaan adalah pada keesokan harinya. Semasa pertandingan kami pakai pakaian yang biasa sahaja.

Sebelah malamnya diadakan taklimat untuk peserta dan ketua kontingen. Taklimat yang ringkas dan padat. Pihak penganjur memaklumkan diantara para hakim yang akan menghakimi Tilawah kali ini adalah Ustaz Nik Azizan (Pengacara Mari Bertarannum TV9), Ustaz Amirrahman Abas yang telah menjadi Johan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 3 kali dan juga diantara pemenang Akademi Al-Quran yang pertama bersama Fahmi, kalau tak silap tempat ke 3. Ustaz Fajuri (tenaga pengajar Kelas Tarannum Menara TM) turut menjadi Hakim, manakala seorang lagi ana tak ingat...

Balik dari taklimat lebih kurang pukul 10.30 malam, saya pun buka Al-Quran untuk praktis ayat-ayat yang akan dibaca keesokannya. Inilah yang betul-betul praktis. Jika sebelum ini, tengok ayat dan maknanya. Cuba memahami ayat dan mencari wakaf dan ibtidak yang baik.
Saya mula menyusun lagu satu demi satu. Cuba menyesuaikan ayat dengan lagu dan seterusnya cuba memasukkan elemen-elemen Ikhtilal, Wuslah dan Qit’ah untuk cuba mendapatkan markah bonus. Ikhtilal adalah suara-suara sumbang yang disengajakan yang menarik manakala Wuslah adalah merangkum 2 atau lebih lagu dalam satu harakat bacaan. Qit’ah pula adalah irama asas satu harakat yang dipotong kepada 2 atau lebih lagu bacaan. Secara ringkasnya Ikhtilal dan Qitah adalah dua perkara yang berlawanan. Ikhtilal adalah menggabungkan 2 atau lebih harakat menjadi satu manakala Qit’ah adalah memotong satu harakat menjadi lebih dari satu irama bacaan. Disamping itu saya juga membawa lagu Hijaz dengan 5 Harakat. Syarat suatu lagu hanyalah 4 harakat. Jika dapat membaca dengan 5 Harakat maka dikira juga sebagai bonus. Didalam Tilawah, perkara ini adalah merupakan bonus jika dapat dilakukan dimana sudah diperuntukkan markah yang khusus untuk ini.

Didalam bacaan saya kali ini saya cuba memasukkan unsur ini dengan sedikit ilmu yang ada. Ikhtilal dan Wuslah dipelajari daripada Ustaz Hassan Al-Fadhli, Hijaz dengan 5 harakat yang dipelajari daripada Ustaz Hafaz Ali (Naib Johan AQ2) dan Qit’ah yang diambil dari Syarifah Khasif Fadzillah semasa AQ 3 semasa peringkat separuh akhir. Itu sajalah modal saya yang ada. Saya teringin untuk melakukan wuslah Hijaz kepada Nahwan sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat saya Aslam yang memenangi peringkat Negeri sebelum ini, bagaimanapun masih belum yakin dapat melakukannya. Bagaimanapun ini satu ilmu yang baru untuk saya.

Pertandingan dijadualkan seawal pukul 8.30 pagi. Saya adalah peserta ke-5. Pukul 7 kami sudah bersiap-siap untuk ke lokasi Tilawah di Dewan serbaguna Menara TM. Pukul 8 bertolak dan sampai kesana 10 minit kemudian. Hadirin masih belum ramai. Para hakim pun belum tiba. Kami mengambil tempat dibarisan ketiga untuk memudahkan saya membuat rakaman video. Video ini akan disimpan untuk kenangan dan juga rujukan bagi memperbaiki bacaan pada masa akan datang.

Pertandingan dimulakan pukul 9.00 pagi. Lewat setengah jam dari dijadualkan. Peserta pertama daripada Sabah. Seorang veteran yang telah 12 kali menyertai Tilawah TM. Pernah memenangi tempat kedua dan ketiga tapi belum pernah mendapat Johan. Bacaannya baik. Bagaimanapun ada sedikit kesilapan dimana beliau telah bertukar baris didalam salah satu kalimat yang dibacanya. Beliau sendiri tidak perasan sehinggalah saya memaklumkan kepadanya.

Seterusnya peserta kedua, ketiga, keempat dan tibalah giliran saya menyampaikan bacaan. Darah gemuruh saya masih belum hilang walaupun telah beberapa kali menyertai Tilawah. Inilah masalah utama yang masih belum dapat diatasi. Ayat demi ayat dibaca sebagaimana yang di rancangkan pada malamnya. Tiba pada lagu Nahwan iaitu lagu yang ketiga, loceng pertama sudah berbunyi menandakan saya ada 2 minit sahaja lagi untuk menamatkan bacaan. Syarat Tilawah, kami kena membaca sekurang-kurangnya 4 lagu. Saya menyedari sudah kesuntukan masa. Sepatutnya loceng pertama saya sudah berada di Harakat kedua lagu Rast iaitu lagu yang keempat. Saya mempercepatkan sedikit tempo bacaan. Selesai saja lagu keempat, masa sudah tamat. Belum sempat tutup dengan lagu Bayati. Biasanya ini juga akan menyebabkan markah dipotong...Apa lagi nak buat. Dah tak boleh buat-apa-apa. 10 minit sama saja untuk semua orang. Tidak ada terlebih, tidak ada terkurang.

Saya turun pentas dengan sedikit kecewa. Bagaimanapun sahabat saya Aslam memberikan kata-kata harapan dengan katanya itu terpulang pada hakim. Jika hakim yang ” berkira” maka akan dipotong. Jika tidak, maka tiada pemotongan markah.

Peserta ke-11 daripada Sarawak. Beliau telah meyampaikan bacaan dengan baik. Burdahnya cantik dan suaranya pun mantap. Sedikit kesilapan beliau pada penghujung bacaanya dimana beliau telah terputus nafas pada dua tempat. Ini sudah pasti akan menyebabkan markah ditolak untuk kesilapan tersebut.

Ramai juga peserta yang terputus nafas. Inilah yang sangat ditakuti oleh semua peserta Tilawah. Nafas dan suara adalah merupakan dua perkara yang amat penting yang perlu di berikan perhatian oleh semua peserta. Latihan senaman adalah perlu untuk meningkatkan ketahanan nafas. Semua ini telah dipelajari oleh semua orang tapi tak ramai yang istiqamah dalam melakukannya termasuk saya sendiri. Sebelum peringkat negeri hari itu, sebelum pergi kerja, singgah sekejap di Taman Alam Damai untuk berjogging. Tapi untuk persiapan peringkat Kebangsaan, sekali pun tak buat!! Huhuhu.....

Tiba giliran saudara Aslam. Waktu sudah hampir pukul 1 tengahari. Beliau telah naik kepentas dengan tenang dan seterusnya menyampaikan bacaan. Bacaanya amat baik dan semua hadirin begitu khusyuk sekali menghayati bacaanya. Kedengaran sahutan ....Allah!!... kalimah takbir oleh hadirin di belakang. Begitulah indahnya burdah bacaan yang disampaikan. Bacaannya lembut dan lagu yang menarik walaupun beliau kurang sihat sebenarnya..Sebagaimana yang saya jangka beliau telah membuat Wuslah kepada Nahwan didalam lagu Hijaz harakat ke 2. Menarik sekali. Dalam kami terbuai dengan alunan bacaan yang disampaikan oleh saudara Aslam, tiba-tiba kedengaran bunyi loceng pertama. Baki masa tunggal 2 minit lagi. Saya pun tertanya-tanya sendirian. Rasanya beliau masih dalam lagu yang kedua atau awal lagu yang ketiga. Keasyikan kepada bacaan yang disampaikan menyebabkan saya ”confuse”. Beliau meneruskan bacaan sehinggalah ke loceng penamat.

Sebaik sahaja beliau turun pentas, saya bertanyakan beliau berapa lagu yang dibawa. Beliau cakap hanya 3. Tak sempat habiskan lagu keempat. Harapan beliau menjadi Johan pada pandangan saya sedikit goyah kerana syarat Tilawah adalah menyampaikan 4 lagu dalam masa 10 minit tersebut. Ini mengakibatkan beberapa markah ditolak. Tak silap saya satu lagu yang ditinggalkan boleh dipotong sehingga 4 markah.

Majlis seterusnya ditangguhkan untuk berhenti rehat makan tengahari dan juga solat Zohor. Semasa menikmati makanan tengahari, dah tak ada pantang larang. Biasanya saya tak minum ais. Tapi bila cari air panas tak ada, terpaksalah minum ais. Lagipun dah habis baca pagi tadi.....Kadang-kadang saya akan lelah bila minum ais.

Majlis bersambung sebelah petang untuk baki beberapa Qari dan Qariah yang belum menyampaikan bacaan. Bacaan oleh Johan menunggu adalah giliran yang terakhir.

Seorang demi seorang menyampaikan bacaan. Terdapat juga kes dimana Peserta Qari dan Qariah yang dipanggil pada sebelah pagi tapi belum hadir ke lokasi Tilawah. Bagaimana pun beliau diberikan peluang pada sebelah petang untuk menyampaikan bacaan. Itulah uniknya TM. Kalau tempat lain...wassalam...huhuhu.....

Johan menunggu dipanggil untuk menyampaikan bacaan. Saudara Syuhaili melangkah dengan macho untuk menyampaikan bacaanya. Beliau ini low profile sikit. Duduk pun belakang-belakang. Tak nak duduk dengan peserta lain..huhuhu....

Sebagaimana sebelumnya bacaanya ”mantop” ( pinjam kalimah Ustaz Zamri sat) dengan lagu dan burdah yang lembut dan menarik. Maklumlah anak buah Ustaz Fajuri...hehehe..
Tiba-tiba ada sedikit kesilapan dalam bacaanya. Beliau telah tertukar baris dalam salah satu kalimah yang dibacanya. Tertukar baris adalah satu kesalahan Jali (besar). Jika mengikut format pemarkahan, kesilapan baris boleh menyebabkan pemotongan sehingga 2 markah. Kesilapan ini sedikit sebanyak menggugat kedudukan beliau sebagai Johan menunggu.

Selepas Johan menunggu Qariah menyampaikan bacaan, Majlis ditangguhkan ke hari berikutnya. Pada malam nanti akan diadakan majlis pembukaan. Pengurusan atasan TM akan turun untuk menyempurnakan majlis.

Kami balik ke Hotel untuk berehat buat seketika. Sebelum Maghrib nanti kena datang lagi. Penat juga seharian berkurung dalam dewan.

Majlis pembukaan diserikan dengan lagu Nasyid oleh penyanyi solo Amar. Majlis digamatkan dengan sedikit persembahan silap mata. Amar telah menjemput seorang pembantu beliau secara sukarela. Tiba-tiba saya lihat anak saya yang berada dibelakang saya berjalan ke depan untuk menjadi pembantu Amar. Persembahan silap mata beliau lebih kepada untuk seronok sahaja. Penonton terhibur dengan persembahan tersebut.

Selesai majlis pembukaan kami semua balik ke hotel untuk tidur dan menyambung lagi Majlis Tilawah untuk keesokan harinya bagi kategori remaja dan kanak-kanak. Masing-masing kepenatan. Sekejap saja semua sudah lena dibuai mimpi.

Majlis Tilawah hari kedua dimulakan dengan kategori remaja dan seterusnya dikuti dengan kategori kanak-kanak disebelah petangnya. Bagi kategori remaja, tiada peningkatan ketara yang diperhatikan berbanding tahun sebelumnya. Cuma ada seorang peserta daripada Sarawak yang mempunyai alunan Tarannum yang baik. Bagaimanapun beliau perlu memperbaiki bacaan dari segi Tajwid dan Makhraj huruf. Bunyi kedaerahan perlu dikikis untuk menjadi Qari yang baik. Beliau memang berbakat dan berpotensi untuk maju.(.....huhuhu...macam komen masa buat penilaian prestasi pulak dah...).

Bagi kategori kanak-kanak, terdapat peningkatan ketara khususnya peserta Qariah dari Johor, Qari dari Kelantan dan Qari dari Kedah/Perlis. Faris sebagaimana peringkat sekolah sebelum ini, tiadalah sangat peningkatan yang ketara sebab gurunya juga tak mampu mengajar yang lebih baik...huhuhu.... Terserahlah kepada para hakim untuk membuat penilaian.

Hanya Faris dan Munifeh sahaja yang akan memperdengarkan bacaan disebabkan Hazierah (panggilan biasa-kakak) terpaksa menarik diri disaat akhir disebabkan Kakak tak boleh baca Al Quran. Nak buat macamana. Biasalah anak perempuan. Kalau dah sampai waktunya bukan boleh ditahan-tahan. Kakak amat kecewa. Beliau telah berusaha dengan penuh semangat. Namun rezeki tidak memihak kepada beliau kali ini. Memang ada pandangan yang mengatakan boleh dalam keadaan seperti ini, tapi saya mengambil pendirian tak boleh. Jadi hanya tinggal Faris dan Muniefah (angah) yang akan menggalas tanggung jawab bagi mewakili Kuala Lumpur.

Majlis hari kedua ini berakhir agak lewat. Maklumlah 2 kategori iaitu remaja dan Kanak-kanak. Setiap kategori menpuyai lebih kurang 25 orang peserta. Maka jumlah peserta yang akan perdengarkan bacaan adalah seramai 50 orang. Kalau seorang 10 minit termasuk naik dan turun pentas, secara mudahnya 500 minit bersamaan dengan 8 jam lebih. Itu belum masuk ulasan pengacara majlis.

Majlis petangnya berakhir pada lebih kurang 6 petang. Bagaimanapun saya mengundurkan diri awal sedikit dalam lebih kurang pukul 5.30 petang. Sebabnya adalah anak-anak dah merenget nak balik sebab sudah lama terkurung. Kami kena kembali semula ke dewan sebelum waktu maghrib.

Majlis malamnya adalah Perasmian penutup dan Penyampaian Hadiah. Majlis akan dirasmikan oleh Pengerusi TM. Majlis dimulakan dengan persembahan Kumpulan Nasyid As Saufi. Mereka telah menyampaikan 4 lagu. Semuanya menarik dan merdu untuk halwa telinga dan minda. Seterusnya adalah ceramah yang disampaikan oleh Dr Ann Wang Seng. Intipati kepada ceramah beliau adalah berkaitan dengan akidah yang betul. Beliau telah berjaya menyampaikan mesejnya walaupun dalam waktu yang agak terbatas. Sebagaimana kata beliau dalam ceramahnya, beliau terpaksa bercakap melebihi kelajuan jalur lebar kerana masa yang amat terhad...huhuhu.....

Selesai sahaja acara ceramah, pengerusi mempersilakan ketua Hakim untuk menyampaikan komen dan seterusnya pengumuman keputusan semua acara yang telah dipertandingkan. Disamping acara Tilawah terdapat juga acara bercerita dan Tahfiz. Bercerita hanyalah untuk kategori kanak-kanak, manakala untuk Tahfiz terdapat dua kategori iaitu Remaja dan dewasa.

Selesai komen para hakim, satu persatu keputusan diumumkan....Kategori Kanak-Kanak lelaki....Tempat ketiga – dengan markah 80% dimenangi oleh Faris Izwan Nordin.......Huhuhu.... Hancur harapan untuk mempertahankan Kejuaraan. Kategori ini dimenangi oleh Adik Syaqif Adib yang mewakili Kelantan. Tempat kedua dimenangi oleh Adik Amirul yang juga mendapat tempat kedua pada tahun lepas. Keputusan yang berubah adalah diantara Faris dan Thaqif sahaja. Faris jatuh ke tempat ketiga dan Thaqif naik ke tempat pertama. Itulah keputusan yang telah tersurat....

Kategori demi kategori diumumkan. Kategori Qariah Kanak-kanak tempat ketiga dimenangi oleh......dari Kedah/Perlis. Dalam hati....Alhamdulillah. Tempat kedua dimenangi oleh Fatin Muniefah Bt Nordin dengan markah..... Huhuhu...kecewa lagi nampaknya. Tempat pertama telah dimenangi oleh Zarith Najiha daripada Johor. Tahun lepas Beliau ditempat kedua. Kini bertakar tangan lagi....Itulah satu lagi keputusan yang tersurat....

Dari satu kategori ke satu kategori. Seterusnya melangkah ke kategori Dewasa. Inilah yang dinanti-nantikan oleh semua hadirin. Qariah tempat ketiga dimenangi oleh .....kedah. Tempat kedua dimenangi oleh...dari Sarawak. Johan dimenangi oleh...Naemah abu Yamin dari Johor.
Seterusnya Qari dewasa tempat ketiga dimenangi oleh Nur Aslam yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tempat kedua dimenangi oleh Syuhaili Abdul Hamid Johan Menunggu dengan markah 81%. Pengerusi diam seketika memandang kepada skrin projektor. Yang memaparkan markah peserta.

”Johan dimenangi oleh peserta yang dihantar dari negeri Selangor ....Saudara Nordin Jusoh juga dengan markah 81%. Sebagaimana yang saya umumkan sebentar tadi, persaingan tahun ini amat sengit dimana para hakim terpaksa mengadili dari segi markah Tajwid disebabkan dua peserta ini mendapat markah yang sama” Pengumuman Pengerusi hakim disambut dengan tepukan oleh para hadirin. Saya menekup muka melafazkan Alhamdulillah dengan rasa terkejut. Beberapa orang rakan menghulurkan tangan mengucapkan tahniah..

Dup....dup....dup....jantung saya berdegup kencang. Sebagaimana lazimnya pemenang akan diminta naik ke pentas untuk mempersembahkan bacaan sekali lagi. Saya langsung tiada persiapan untuk itu. Sebaik saja turun dari pentas hari sebelumnya, saya menganggap sudah selesai....Ada rezeki jumpa lagi tahun depan. Itulah sebabnya tibai semua benda termasuk air batu, buah dokong dan lainnya. Macamana saya nak baca nanti.. Suara dah parau semacam. Makan nasi tadi pun saya minum air batu lagi menyebabkan dada terasa macam nak lelah. Sahabat saya dari Kelantan tadi ada berseloroh. Jangan makan banyak-banyak nanti kena naik baca sekali lagi....Saya menganggap itu gurauan biasa sahaja dan tidak mengambil serius. Jika tidak, pasti saya tidak makan petang tadi. Memang kebiasaannya begitu. Saya tidak akan mengambil makanan sehingga selesai menyampaikan bacaan kerana akan menyebabkan nafas menjadi semput. Al-Quran pun tak bawa. Tinggal kat hotel.!!!

”Dengan segala hormatnya dipersilakan Johan Qari Dewasa untuk menyampaikan bacaan”

Saya berdiri sambil mengisyaratkan kepada AJK yang saya memerlukan sebuah Al-Quran. Tak lama kemudian datang seorang AJK menyerahkan sebuah Al-Quran kepada saya. Al-Quran yang masih baru. Baru keluar kotak agaknya.

Saya naik kepentas sambil mencari ayat yang saya bacakan iaitu dari Surah Al-Furqan. Ayat 61. Mukasuratnya saya tak ingat sebab sudah ditandakan. Saya kurang memberikan perhatian kepada mukasurat mashaf tersebut. Kalau dengan komputer, tekan surah saja sudah keluar ayatnya. Sampai dipentas saya masih tercari-cari ayat tersebut. Balik kepada indeks tengok satu-satu surah.Mukasurat 359. Balik punya balik mukasurat berkenaan tak jumpa. Hadirin senyap sunyi menanti bacaan dimulakan. Balik sana, balik sini tak jumpa juga. Saya sudah mula merasa segan dengan hadirin serta tetamu kehormat yang menanti saya memulakan bacaan. Hampir satu minit saya dalam keadaan demikian. Akhirnya saya terlintas, baca jelah ayat lain. Lantas teringat ayat semasa peringkat negeri yang mudah dicari iaitu Al-Baqarah ayat 44 kerana berada dihadapan. Belek dua tiga helai terus jumpa ayat berkenaan. Terus saya memulakan bacaan. Suara pun dah tak normal sebagaimana hari semalam. Jawabul jawab pun rasanya tak lepas. Huhuhu.... Jawabul Jawab adalah merupakan tingkatan suara yang paling tinggi dalam sesuatu lagu tarannum. Saya menamatkan bacaan dengan hanya menyampaikan 3 lagu sahaja iaitu Bayati, Hijaz-Iraqi dan Nahwan.....Turun dari pentas dengan rasa malu kepada diri sendiri yang teramat..Tak tahulah pula apa pandangan hadirin pada malam tersebut..huhuhu....malunya....Kepada semua para hadirin yang hadir...Maafkan saya...

Seterusnya peserta Johan Qari Kanak-kanak dan Johan bercerita diminta mempersembahkan bacaan dan cerita masing-masing.

Majlis seterusnya adalah penyampaian hadiah dan cenderahati kepada semua pemenang. Majlis berlangsung dengan lancar. Satu demi satu kategori menerima hadiah masing-masing.

Tempat kedua dan ketiga untuk kategori Dewasa adalah wang tunai. Johan kategori dewasa adalah Pakej menunaikan Umrah bernilai RM6000.00.... Alhamdulillah.. berbanyak syukur kepada Alllah yang melimpahkan rezeki kepada hambanya.

Ya Allah. Lambaian Kaabah semakin hampir. Panjangkanlah umur ku untuk menziarahi kekasihmu dan menjadi tetamu Mu untuk pertama kali. Permudahkan lah segala urusan. Aku sangat berterima kasih diatas peluang yang telah diberikan ini.

Sekali lagi Alhamdulillah.

Buat sahabatku Saudara Syuhaili dan Nur Aslam. Anta berdua sebenarnya adalah Juara...

 Bergambar kenangan di hadapan Masjid Nabawi
Bergambar dari Tingkat atas Masjidilharam 

4 comments:

  1. salam akhi Nordin....

    Tahniah sekali lg dr ummihumaira n family...

    dan selamat menunaikan ibadah umrah dan menjadi tetamu Allah..

    ReplyDelete
  2. Terimakasih...

    Alhamdulillah dengan doa semua, Allah mengizinkan kejayaan. Doa saya sebelum ini...Ya Allah. Jika ada kebaikan disebalik kemenangan itu, maka kurniakanlah kejayaan. Jika sebaliknya maka hindarilah...

    ReplyDelete
  3. Abe Nordin,

    Bismillah MasyaAllah.... Tahniah... kegigihan tuan berusaha amat ku kagumi

    Juara sebenar adalah semua pencinta dan pejuang Islam, Al-Quran dan Hadis Rasulullah :-)

    Teruskan perjuanganmu dan ajak2lah ana bersama untuk terus mencintai seni taranum Al-Quran...

    ReplyDelete
  4. Salam Syeikh .. Tahniah .. Pengorbanan tuan akhirnya berbalas jua .. Ana juga kagum dgn anta .. Alhamdulillah , Selamat mengerjakan UMRAH .. :-)

    ReplyDelete