Saturday, December 25, 2010

Panduan Belajar Tarannum

Salam semua,

Ada yang bertanyakan bagaimanakah cara belajar tarannum dengan cepat dan mudah. :-) Memang sifat semulajadi manusia mahukan sesuatu dengan cara yang cepat dan mudah macam mee segera. Ada juga Ustaz yang menganjurkan belajar Tarannum Cara Mudah dan Cepat. Bagaimanapun keberkesanannya pada saya menjadi persoalan.

Adakah belajar tarannum itu sukar? Jika diajukan pertanyaan itu pada saya, jawapan saya adalah Tidak. Sebabnya anak-anak yang berumur bawah 12 tahun ramai yang dapat menguasai ilmu Tarannum. Jika sukar ...pasti mereka tidak akan mampu menguasainya.
Apakah sebenarnya "kata kunci" untuk mempelajari ilmu ini. Pada saya adalah "Usaha yang berterusan" menjadi titik tolak kepada semua kejayaan. Peruntukkan sedikit masa untuk mempelajari ilmu ini. 30 minit selepas Maghrib sudah lebih dari mencukupi.

Mempelajari tarannum tidak dapat dipelajari dalam masa seminggu atau sebulan. Ianya akan mengambil masa bertahun untuk menjadi Qari/Qariah yang baik. Datuk Faizul yang menjadi Johan Antarabangsa pada tahun 2003 telah berulangalik daripada Jerantut Pahang kerumah Tn Guru Nik Jaafar di Pasir Mas Kelantan selama lebih kurang 5 tahun sebelum menyertai Tilawah pada tahun 2003 tersebut. Kadang-kadang saya malu dengan diri sendiri untuk menyertai kelas di Menara TM setiap hari Jumaat pun tidak berkesempatan. Bukan saya tidak mahu sebenarnya, cuma masa agak tidak sesuai pada saya yang berada agak jauh dari Menara TM iaitu 5.30-6.30pm. Mungkin perlu dilewatkan sikit.

Banyak kelas yang telah saya sertai. Bermula daripada Kelas Tarannum anjuran BAKIT Terengganu, kemudian Kelas Tarannum Masjid Pandan Indah, kelas Tarannum Masjid Al-Muqarrabin, Kelas Tarannum TM Annexe 1 dan Kelas Tarannum Masjid Putrajaya. Hampir semuanya mempunyai fenomena yang hampir sama iaitu ramai pelajar hanya pada permulaan sahaja. Bila kelas berjalan dari satu minggu ke satu minggu, bilangan pelajar akan berkurangan dan akhir sekali hanya tinggal beberapa orang sahaja. Adakah kerana merasakan belajar Tarannum itu sukar? Jawapannya tidak ada pada saya. Cuma saya berpendapat pelajar berkenaan tidak mempunyai semangat yang kental serta minat yang mendalam kepada Ilmu Tarannum yang menyebabkan belajar hanya separuh jalan. Jadi ingatan saya kepada semua, belajarlah kerana Allah untuk diri sendiri. Jika diberikan ilmu, ajarkan pada anak-anak, itu sudah lebih dari mencukupi....

Bagi yang baru mempelajari Tarannum saya mempunyai sedikit panduan untuk di kongsikan.

1. Persiapan minda iaitu ikhlas belajar kerana Allah. Membaca Al-Quran itu amat tinggi ganjarannya daripada Allah. Sila rujuk kitab-kitab yang banyak sekali sekali menceritakan kelebihan Al-Quran ini. Dalam Internet pun banyak diceritakan.

2. Belajar Tarannum dengan sabar dan penuh minat. Jangan terburu-buru mengejar untuk menghabiskan 7 lagu semuanya tetapi akhirnya 1 lagu pun tidak melekat didalam minda dan tidak dapat dikuasai.

3. Belajar lagu Harakat demi harakat. Ulang harakat yang sama berulang kali tanpa rasa jemu sehingga iramanya melekat di dalam diri. Saya selalu memberikan contoh semasa memasuki darjah 1 sekolah rendah dahulu. Kita tidak diajar untuk menyanyikan lagu Negaraku. Setiap kali perhimpunan, pelajar senior akan menyanyikan lagu tersebut dan kita sebagai pelajar yang baru masuk akan dengar dengan penuh penghayatan sebabnya kita tak boleh bercakap semasa lagu Negaraku dinyanyikan. Lama-kelamaan kita dapat menyanyikan lagu tersebut !!! Betul tak?? Begitulah juga dengan irama lagu Tarannum... Jangan harapkan sewaktu didalam kelas sahaja. Sebaliknya perlu membuat ulangkaji semasa dirumah. Oleh sebab itu rakaman semasa didalam kelas Amat perlu untuk tujuan ulangkaji..... Rakaman kelas pertama bersama Ustaz Hafaz (Naib Johan AQ2) masih saya simpan sehingga ke hari ini. Mungkin semasa kelas kita tidak dapat “menyerap” /menghayati irama yang diajarkan, tapi bila kita balik dan dengar berulang-ulang kali, kita akan mula faham irama lagu berkenaan.

4. Jangan malu untuk cuba melagukan lagu yang diajarkan. Biarpun iramanya sumbang..Tanpa mencuba, kita tidak akan berjaya. Tidak ada orang yang dapat terus berlari. Semua orang bermula dari merangkak, kemudian berjalan dan berlari….Kemudian setelah difahami lagu-lagu yang diajarkan itu, cuba lagukan kepada ayat-ayat lain yang tidak pernah diajarkan…Inilah sebenarnya yang kita mahukan. Dapat melagukan apa juga lagu didalam mana-mana ayat tanpa sebarang masalah.

5. Dapatkan irama yang asas terlebih dahulu, kemudian baru berusaha kearah mencanggihkan bacaan dengan memasukkan unsur-unsur tambahan seperti Burdah halus, Wuslah, Ikhtilal dan mempelajari cabang-cabang lagu yang lain. Ini akan memakan masa bertahun-tahun pastinya.

6. Dapatkan guru-guru yang mempunyai ilmu tarannum untuk membimbing kita mempelajari ilmu ini. Mempelajari daripada komputer, VCD dan kaset hanyalah sebagai tambahan dan ulangkaji sahaja. Guru-guru akan memberikan tunjuk ajar yang lebih berkesan dalam memahami ilmu ini.

Itu adalah sedikit panduan yang dapat dikongsikan buat masa ini…

Sekian wassalam…

Friday, December 17, 2010

Ulangkaji Belajar Tarannum Bayati, Nahwan, Rast dan Jiharkah

Bacaan penuh lagu Bayati, Nahwan, Rast dan Jiharkah. Pastikan anda telah mengikuti posting yang telah lalu kerana ianya di ajarkan secara lebih detail. Posting ini hanya membantu anda mengingati dan membuat ulangkaji kesemua lagu yang telah diajarkan secara cepat.

Semoga ada manafaatnya buat semua.


Sunday, December 12, 2010

Lagu Rast Harakat 5 dan Harakat 6

Salam semua,

Terdapat missing video untuk lagu Rast Harakat ke-5 dan Ke-6 didalam posting sebelum ini. Kini telah dikemaskini. Sila rujuk ke halaman berikut:

http://tarannumalquran-nordinj.blogspot.com/2009/11/belajar-tarannum-bersama-ustaz-radzi.html

Terima kasih.

Friday, November 26, 2010

Dalil dan Hukum Bertarannum

Salam semua,

Mungkin timbul persoalan didalam fikiran sebahagian daripada kita tentang dalil dan hukum membaca Al-Quran secara bertarannum. Sememangnya setiap perbuatan kita sebagai seorang islam, kita perlu mengetahui apakah hukumnya dari segi agama.

Untuk menjawab persoalan ini, saya telah menemui sedikit kupasan daripada blog berikut. Semoga ilmu yang dikongsikan ada manafaatnya. Sila ke halaman berikut

http://balliqul-ilm.blogspot.com/2009/10/dalil-dan-hukum-bertarannum.html

Terima kasih.

Wednesday, October 27, 2010

Peraturan Tilawah di Malaysia (4)

Sambungan........

Bahagian Suara

Perkara-perkara yang dititik beratkan dalam penghakiman bahagian Suara ialah
seperti berikut:
a. Kebersihan, kelicinan dan kelancaran suara;
b. Kemanisan dan kelembutan suara;
c. Suara terang, nyata dan lantang;
d. Suara yang tidak berubah-ubah daripada mula bacaan hingga ke akhirnya walaupun ada tekanan suara turun dan naik semasa membaca;
e. Ketepatan nada suara pada tarannum yang dibaca;
f. Menunaikan ikhtilal al-lahn sekurang-kurangnya sekali dalam satu bacaan;
g. Persembahan yang dikira istimewa dalam bidang Suara hendaklah mengandungi ciri-ciri seperti berkut:
i. Suara yang mempunyai lahjah Arab;
ii. Suara yang mempunyai keempat-empat tabaqat dengan selesa;
iii. Suara yang menarik dan merdu;
iv. Suara yang bergerak dan dapat menghidupkan rentak-rentak suara;
v. Suara yang licin, lembut, terang dan jelas semasa tekanan suara tinggi, rendah dan sederhana; vi. Suara yang mempunyai getaran dan burdah yang menarik;
vii. Dapat mengawal sepenuhnya alunan suara dengan selesa semasa
nyaring dan semasa perlahan; dan
viii. Menunaikan ikhtilal al-lahn lebih dari sekali dalam satu bacaan.

h. Kaedah dan peraturan pemotongan markah dalam bidang Suara adalah
seperti berikut:
i. Suara parau – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
ii. Suara sumbang yang merosakkan – tiap-tiap kali dipotong satu
markah;
iii. Suara tenggelam – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
iv. Suara pecah dan terputus-putus – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
v. Suara tersepit atau tercekik – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
vi. Suara terketar-ketar kerana terlampau tinggi atau terlampau rendah – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
vii. Suara yang tidak cukup tiga tabaqat – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
viii. Suara lemah dan kelembapan – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
ix. Suara yang keras dan kaku – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
x. Suara yang berubah kualiti – tiap-tiap kali dipotong satu markah;
xi. Tidak membawa satu ikhtilal al-lahn bagi satu bacaan – dipotong satu markah; dan
xii. Jika berulang-ulang pada kesalahan yang sama, hendaklah dipotong markahnya dengan kadar tidak melebihi lima markah.

Demikianlah 4 bahagian yang penting didalam pembacaan Al-Quran. Jadi marilah kita menjadi hakim kepada diri sendiri, setakat mana mutu bacaan kita. Adakah kita dapat memenuhi kriteria bacaan yang baik sebagaimana diperlukan. Jika belum, marilah kita sama-sama berusaha kearah itu......hingga ke akhir Hayat InsyaAllah. Biarlah kita mati dalam keadaan kita masih mencari Ilmu Allah yang tiada penghujungnya....

Wassalam...

Wednesday, October 20, 2010

Peraturan Tilawah di Malaysia (3)

Sambungan .......

Bahagian Fasahah

Perkara-perkara yang dititik beratkan dalam penghakiman bahagian Fasahah ialah seperti berikut:
a. Cermat dan fasih dalam bacaan;
b. Mahir menyebut kalimah-kalimah dan ayat-ayat;
c. Terpelihara segala huruf, harakat (baris) dan tasydid;
d. Menepati waqaf dan ibtida’ termasuk Waqaf Jibril atau Waqaf Nabawi;
e. Bacaan menurut lahjah Arab Fusha;
f. Bacaan sederhana, tidak terlalu cepat atau terlalu lambat; dan
g. Tidak bercampur aduk antara bacaan tartil dan tadwir;
h. Persembahan yang dikira istimewa dalam bidang Fasahah hendaklah mengandungi ciri-ciri seperti berikut:
i. Bacaan dengan lahjah Arab;
ii. Dapat menyempurnakan ayat yang panjang dalam satu nafas; dan
iii. Bacaan yang cermat dan bertadabbur;
j Kaedah dan peraturan pemotongan markah dalam bidang Fasahah ialah seperti berikut:
i. Tersalah memulakan bacaan atau ayat yang ditetapkan – dipotong tiga markah;
ii. Menamatkan bacaan melebihi 30 saat sebelum cukup tempoh yangdiperuntukkan – dipotong satu markah;
iii. Tertinggal atau melangkau ayat semasa dalam bacaan – dipotong dua markah;
iv. Tidak membaca ayat atau surah yang telah ditetapkan – bacaan ditolak (tidak diberi markah);
v. Jika berulang-ulang pada kesalahan yang sama, hendaklah dipotong markahnya dengan kadar tidak melebihi lima markah; dan
vi. Jika berulang-ulang kesalahan jaliy atau tiada kelancaran yang berterusan maka markah Fasahah dibatalkan (tidak diberi markah).

Bersambung............

Tuesday, October 19, 2010

Peraturan Tilawah di Malaysia (2)

Berikut adalah sambungan ......

Bahagian Tarannum

Perkara-perkara yang dititik beratkan dalam penghakiman bahagian tarannum ialah seperti berikut:
a. Menggunakan tarannum bil Quran dengan sekurang-kurangnya empat jenis tarannum termasuk dua jenis tarannum yang ditetapkan tanpa mengira jenis tarannum yang dimulakan;
b. Setiap tarannum bil Quran hendaklah disempurnakan secara teratur sekurang-kurangnya dalam empat harakat tanpa bercampur aduk atau takrir;
c. Setiap tarannum bil Quran hendaklah dibawa dalam tiga tingkatan (tabaqat) suara iaitu:
i. rendah, sederhana dan tinggi; atau
ii. sederhana, tinggi dan tertinggi.
d. Setiap tarannum bil Quran hendaklah dibawa dengan teratur dan tersusun satu demi satu tanpa bercampur aduk antara satu sama lain kecuali wuslah al-mumathalah;
e. Menunaikan wuslah al-mumathalah sekurang-kurangnya sekali dalam satu bacaan;
f. Setiap tarannum bil Quran yang dibawa pada ayat yang akhir (penutup) hendaklah sama dengan lagu yang dibawa pada ayat permulaan, iaitu sebelum berakhir tempoh masa yang ditetapkan;
g. Persembahan yang dikira istimewa dalam bidang tarannum hendaklah mengandungi ciri-ciri seperti berikut:
i. Tarannum bil Quran yang mempunyai lahjah Arab dan qit’ah-qit’ah yang menarik;
ii. Tarannum bil Quran yang dibawa mempunyai wuslah al-mumathalah yang menarik lebih daripada sekali dalam satu bacaan;
iii. Mempunyai kecekapan membawa tarannum bil Quran lain selain daripada tarannum bil Quran wajib, sekurang-kurangnya dalam dua harakat dalam tempoh bacaan yang ditentukan;
iv. Setiap tarannum bil Quran mengandungi lebih daripada empat harakat yang teratur dan menarik;
v. Tarannum bil Quran yang mempunyai unsur-unsur tersendiri tanpa meniru mana-mana qari yang masyhur;
vi Dapat menyesuaikan tarannum bil Quran dengan kehendak makna ayat tanpa lari daripada kaedah Tajwid dan Usul;
vii. Membawa burdah-burdah tarannum bil Quran yang menarik;
viii. Setiap persembahan tarannum hendaklah disempurnakan empat tabaqat; dan
ix. Bacaan yang mempunyai salalim nuzul atau salalim su’ud yang menarik pada setiap tarannum dalam mana-mana harakat;
h. Kaedah dan peraturan pemotongan markah dalam bidang tarannum bil Quran ialah seperti berikut:
i. Membaca kurang daripada empat jenis tarannum – setiap satu tarannum wajib yang ditinggalkan dipotong empat markah;
ii. Tidak membaca dua jenis tarannum yang ditetapkan, setiap satu daripada dua tarannum yang ditinggalkan dipotong empat markah;
iii. Membaca kurang daripada empat harakat bagi setiap tarannum – setiap satu harakat yang kurang dipotong satu markah;
iv. Tidak membawa tiga tabaqat bagi setiap tarannum – setiap satu tabaqat yang tidak dibawa dipotong satu markah;
v. Sumbang yang merosakkan tarannum – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
vi. Terputus nafas yang merosakkan tarannum – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
vii. Tarannum yang bercampur aduk – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
viii. Takrir pada tarannum – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
ix. Takrir pada harakat – setiap satu kesalahan dipotong satu markah;
x. Meniru sepenuhnya bacaan mana-mana qari yang mashyur – dipotong satu markah;
xi. Tidak membawa satu wuslah al-mumathalah dan ikhtilal al-lahn bagi satu bacaan – dipotong satu markah;
xii. Tarannum penutup tidak sama dengan tarannum pembukaan – dipotong satu markah; dan
xiii. Jika berulang-ulang pada kesalahan yang sama, hendaklah dipotong markahnya dengan kadar tidak melebihi lima markah.

Bersambung ke Bahagian Fasahah....

Peraturan Tilawah di Malaysia (1)

Salam semua,

Pernahkah saudara membaca peraturan Tilawah yang dikeluarkan oleh JAKIM. Satu bahagian yang penting yang ingin di kongsikan disini adalah bahagian penghakiman. Semoga menjadi panduan dan sedikit sebanyak memberikan pengetahuan kepada pembaca-pembaca Al-Quran semua yang belum pernah membacanya.


BAHAGIAN-BAHAGIAN PENGHAKIMAN

Bahagian-bahagian penghakiman ialah seperti berikut:
a. Tajwid, dengan wajaran 40 markah;
b. Tarannum, dengan wajaran 25 markah;
c. Fasahah, dengan wajaran 20 markah; dan
d. Suara dengan wajaran 15 markah.

Untuk posting kali ini kita lihat Bahagian Tajwid sahaja.

Bahagian Tajwid
Perkara-perkara yang dititik beratkan dalam penghakiman bahagian Tajwid adalah seperti berikut:
• Menjaga segala hukum Tajwid dengan sempurna, terutama mengenai perkara-perkara yang dihuraikan di bawah ini selanjutnya;
• Menyebut dengan betul setiap makhraj dan sifat huruf serta lain-lain dari segi tebal dan nipisnya;
• Menjaga hukum-hukum Tarqiq dan Tafkhim terutama pada huruf lam dan ra’;
• Mad Asli, Mad Tabii dan Mad Badal tetap dengan kadar panjang dua harakat;
• Mad Jaiz Munfasil boleh dibaca dengan dua harakat atau empat harakat atau lima harakat. Setiap peserta boleh memilih salah satu daripada wajah-wajah Mad Jaiz Munfasil mengikut thoriq yang dibaca oleh peserta. Sekiranya ia memilih salah satu daripadanya, ia hendaklah meneruskan bacaannya atas wajah itu tanpa berpindah kepada wajah yang lain. Sekiranya terdapat dua Mad Jaiz Munfasil atau lebih dalam sesuatu ayat, maka hendaklah disamakan kadar panjang mad itu, iaitu jika dibaca dengan empat harakat pada Mad Jaiz Munsafil pertama, maka hendaklah dibaca dengan empat harakat juga pada Mad Jaiz Munsafil kedua, demikianlah seterusnya;
• Mad Wajib Muttasil hendaklah dibaca dengan kadar panjang empat harakat, atau lima harakat, atau enam harakat ketika waqaf. Kadar panjang bacaannya hendaklah diselaraskan;
• Mad Lazim hendaklah panjang bacaannya dengan kadar enam harakat,
• manakala mad istifham/mad farq boleh dibaca dengan dua wajah iaitu bacaan ibdal atau tashil;
• Mad ‘Aridh dibaca dengan kadar panjang dua atau empat atau enam hakarat ketika waqaf sahaja;
• Mad Silah hendaklah dibaca dengan kadar dua harakat, tetapi sekiranya selepas Mad Silah terdapat sebab, yakni hamzah selepasnya. Maka hendaklah dibaca dengan kadar panjangnya seperti Mad Jaiz Munfasil;
• Ghunnah dibaca dengan kadar dua harakat, sama ada dalam keadaan waqaf dan wasal;
• Riwayat yang dijadikan asas pegangan ialah Riwayat Hafs; dan Mengenai isymam dan raum, saktah, tashil dan ibdal, naql, silah dan imalah ialah seperti mengikut thoriq bacaan yang dipilih oleh peserta seperti berikut:
i. isymam/raum
ii. saktah
iii. tashil/ibdal
iv. naql
v. Silah
vi. imalah
• Persembahan yang dikira istimewa dalam bidang Tajwid hendaklah mengandungi ciri-ciri seperti berikut:
i. Dapat menyempurnakan riwayat qiraat dan thoriq bacaan dengan
sempurna;
ii. Dapat menyamai kadar panjang hukum mad;
iii. Dapat menyempurnakan sebutan huruf dan sifatnya; dan
iv. Dapat menyempurnakan sifat-sifat ghunnah;
• Kaedah dan peraturan pemotongan markah dalam bidang Tajwid ialah seperti berikut:

i. Perkara –perkara yang dihakimi ialah:
1. bacaan mengikut Riwayat Hafs Tariq al-Imam al-Syatibi/al-Imam Ibn
al-Jazari;
2. makhraj dan sifat huruf;
3. hukum nun dan mim sakinah dan tanwin;
4. hukum nun dan mim musyaddadah;
5. hukum ra’ dan lam;
6. hukum saktah, imalah dan ibdal;
7. hukum mad asli dan farii; dan
8. hukum-hukum tajwid yang lain.
ii. Setiap satu kesalahan khafi dipotong satu markah; dan
iii. Setiap satu kesalahan jali dipotong dua markah.


Daripada syarat-syarat yang telah dikongsikan diatas, sekarang tuan-tuan telah mengetahui kriteria penilaian pembacaan Al-Quran yang baik sebagaimana yang dituntut didalam pembacaan AL-Quran. Jadi masing-masing semaklah diri sendiri dimana kekurangan kita, apa lagi yang kita belum tahu dan belum mahir dan InsyaAllah kita sama-sama berusaha memperbaikinya.

Sekian,

Sunday, October 3, 2010

Belajar Tarannum Bersama Ustaz Radzi - Lagu Jiharkah

Salam semua,

Untuk N3 kali ini saya masukkan lagu keempat daripada VCD Ustaz Radzi iaitu lagu Jiharkah. Lagu ini jika diperhatikan ada sedikit perbezaan dengan lagu Jiharkah yang telah saya masukkan sebelum ini daripada Ustaz Hassan. Perbezaannya adalah pada harakat ke 2 dan harakat Jawab. Ustaz Radzi menggunakan harakat jawab dengan lagu 'Ajam manakala Ustaz Hassan sebelum ini menggunakan lagu Soba dan Kurdi.

Sila ikuti VCD ini seterusnya.



Semoga ada manafaatnya buat anda semua....

Friday, October 1, 2010

Video Bacaan Bertarannum

Salam semua,

Sudah lama saya tidak dapat muat naik Video ke laman web disebabkan saya menghadapi masalah Video Editing software yang telah hilang. Sampai sekarang softcopynya belum ditemui. Hari tu ada pergi ke Low Yat, tanya kedai tempat beli HandyCam, tapi katanya dah tiada lagi software berkenaan. Jadi video yang baru masih belum dapat di buat editing...Jika saudara berpengalaman dalam video editing, minta cadangkan kepada saya software yang bagus yang mana satu. Sebelum ini saya gunakan Ulead Video Editor. Kalau ada yang lebih baik bolehlah bagi cadangan kepada saya.

Disebabkan tiada video yang baru untuk dimuat naik, semalam saya ada upload video yang lama-lama ke YouTube. Dua video telah dimuat naik iaitu video Johan Tilawah Tahun 2009, Awangku Omar Asfuaddin dan Naib Johan Ustaz Anuar Hasin...

Kedua-dua video itu boleh dilayari di link berikut :

1. Johan Kebangsaan 2009- Awangku Omar Asfuaddin
2. Naib Johan Kebangsaan 2009 - Ustaz Anuar Hasin

Semoga dapat dihayati dan ada manafaatnya buat semua..

Wednesday, September 29, 2010

Galeri Ilmu

Posting saya kali ini keluar dari tajuk Tarannum, tetapi masih berkisar kepada ilmu. Kali ini adalah ilmu-ilmu untuk kehidupan dunia dan akhirat. Ibarat kata jika sehari umur kita bertambah, tetapi ilmu dan ibadat tidak bertambah, maka dibimbangi kita termasuk diantara orang-orang yang rugi.

Sepanjang saya mengendalikan blog ini, saya menerima banyak juga tempahan untuk mendapatkan VCD Tarannum dan Handset MyIman. Ramai juga dari Sabah dan Sarawak serta Utara tanah air. Maka pada hari ini saya telah memanjangkan satu langkah lagi untuk mempelbagaikan pilihan untuk pengunjung yang berhajat.

Saya telah membuka sebuah kedai Maya yang menjual buku-buku agama, motivasi CD, VCD dan DVD daripada Syarikat induk Telaga Biru Sendirian Berhad. Mempunyai banyak sekali buku-buku yang berkualiti yang dijual pada harga yang sama dengan kedai-kedai buku diluar sana. Bezanya anda kini dapat ber'shopping' dari kediaman anda yang selesa pada bila-bila masa 24 jam sehari, 365 hari setahun. Tak perlu kejut tauke kedai walaupun nak shopping tengah malam....huhuhu

Tokoh yang menerajui syarikat ini sudah tidak asing lagi pada kita semua. Sila lihat gambar dibawah. Jadi Anda boleh membuat pembelian tanpa sebarang keraguan. Jangkaan pesanan anda akan sampai dalam masa 3 hingga 14 hari. Kedai ini boleh dilayari di alamat http://www.stormreaders.net/njhaizan atau klik pada gambar tokoh-tokoh dibawah. Terdapat lebih 500 item yang disediakan untuk anda semua.

Semoga ada manafaatnya buat pembaca semua.


Monday, September 20, 2010

Tarannum Al Quran - Lagu Jiharkah

Salam semua,

Untuk posting kali ini saya masukkan satu lagi lagu Tarannum Al-Quran yang dikenali sebagai Lagu Jiharkah. Lagu ini daripada Al Fadhil Ustaz Hassan Fadhli Abdul Rahman. Ayat yang dibacakan adalah dari surah Al-Anfal bermula ayat 67. Lagu Jiharkah merupakan sebuah lagu yang berirama sedih dan mendayu-dayu. Sesuai untuk ayat-ayat doa dan permintaan kepada Rabbuljalil. Untuk makluman tuan, Takbir hari Raya di Malaysia yang biasa kita dengari adalah merupakan lagu Jiharkah. Sila hayati lagu Jiharkah ini, kemudian cuba terapkan kedalam ayat-ayat yang lain. Didalam nada Jawab, terdapat dua variasi yang diberikan iaitu variasi Soba dan variasi Kurdi serta diberikan untuk variasi Wuslah Kurdi dan Soba.

Tuesday, August 3, 2010

LAMBAIAN KAABAH : Nordin Jusoh – 3 Ogos 2010 / 22 Syaaban 1431H


Semenjak tiga tahun lepas saya memasang niat untuk menunaikan umrah. Masa itu ada sedikit Business yang dijalankan. Hajatnya untuk menabung dan pergi menunaikan umrah bersama isteri jika keuntungan berterusan. Bagaimanapun business itu tidak bertahan lama dan kini telah berkubur. Harapan hanya tinggal harapan yang tidak kesampaian.

Pada tahun ini tidak sebagaimana tahun-tahun yang lepas. Usaha saya dalam membuat persiapan untuk menyertai Tilawah TM tidak seberapa. Tidak ada menyertai kelas sebagaimana sebelumnya. Sebelum ini pada tahun 2009, saya mengikuti kelas Tarannum anjuran Masjid Putrajaya. Tenaga pengajarnya adalah Ustaz Anuar Hasin dan Ustaz Tarmizi. Pada tahun 2007 dan 2008 saya belajar di Masjid Al-Muqarrabin, Sungai Besi bersama Ustaz Hassan Fadhli Al-Hafiz. Bagaimanapun tahun ini tiada kelas yang dapat saya sertai. Walaupun di Menara TM ada kelas Tarannum yang dianjurkan, masa tidak mengizinkan kerana kelas diadakan sebelah petang. Perjalanan ke Menara TM saja sudah mengambil masa 30 minit dari pejabat di Serdang. Nak pergi ke rumah Ustaz pun tak berkesempatan. Selalu saja ada macam-macam hal.

Dengan sedikit ilmu yang ada saya ajarkan anak-anak asas-asas ilmu Tarannum. Dengan cara ini saya dapat memahirkan diri dengan lagu-lagu yang telah dipelajari. Apa-apa ilmu sekali pun, jika kita ajarkan pada orang lain, insyaAllah ilmu kita sendiri akan bertambah.

Tilawah peringkat sekolah rendah anjuran Kementerian Pelajaran telah bermula seawal bulan April 2010. Saya telah menyibukkan diri dengan membuat persiapan anak-anak untuk mengambil bahagaian dalam tilawah berkenaan. Bermula dengan peringkat Zon, berjaya melangkah ke pringkat Negeri dan seterusnya ke pringkat Kebangsaan. Walaupaun tewas di peringkat kebangsaan, tapi itu sebenarnya satu kejayaan peribadi yang amat berharga. Peringkat kebangsaan menampilkan peserta yang amat baik bacaanya dimana saya sendiripun tidak mampu menandinginya walaupan mereka itu semuanya kanak-kanak dibawah 12 tahun. Apa yang saya ada, itulah yang anak-anak dapat. Untuk mendapat lebih lagi, mereka perlu dihantar kepada guru-guru yang lebih baik. InsyaAllah ini akan dilakukan ..

Habis saja peringkat sekolah, bersambung pula Tilawah TM untuk tahun 2010. Bermula dengan peringkat Negeri kemudiannya Peringkat kebangsaan. Begitulah diari kehidupan buat masa ini. Terasa masa terlalu pantas. Inilah yang menyebabkan saya hilang tumpuan kepada persiapan diri sendiri untuk Tilawah tahun ini. Tumpuan lebih diberikan untuk anak-anak. Kami juga telah berpindah rumah pada bulan Jun 2010. Tahu sajalah bila dah pindah rumah maka macam-macam hal...Sangat memenatkan...pendek kata pukul 10 lebih dah melepek..lepas saja ajar anak-anak mengaji...mata dah layu. Nak mengaji pun dah tak ada kekuatan.....

Tilawah TM peringkat Negeri Wilayah Persekutuan/Selangor pada tahun ini melakar sejarah baru. Pertamanya dengan penyertaan yang paling ramai iaitu seramai 9 orang. Kebiasaanya sekitar 5 orang saja. Ini menyebabkan pihak penganjur telah memutuskan untuk mengadakan saringan untuk memilih 5 orang sahaja ke peringkat Negeri. Alhamdulillah saya telah berjaya melepasi peringkat saringan tersebut. Keduanya adalah dengan penyertaan sahabat baru Nur Aslam yang merupakan diantara 12 orang peserta terbaik Akademi Al-Quran Musim ke-empat. Bacaannya sangat baik. Burdahnya...masyaAllah...amat menarik.... Siap ada Wuslah lagi....dan pendek kata bakal menggantikan Ustaz Saufi yang menjadi Johan sebanyak ...tak silap saya 9 kali...Tapi yang pastinya sahabat ana ini tak akan dapat memecahkan rekod Ustaz Saufi. Sebabnya ialah....Jawatankuasa penganjur telah memutuskan sekarang ini Johan hanya dibenarkan 3 kali sahaja. Selepas itu tak dibenarkan lagi menyertai kategori yang sama. Kategori Hafazan masih boleh.....

Melangkah ke peringkat kebangsaan dengan kurang persiapan. Tumpuan kepada anak-anak diutamakan. Kepenatan berpindah dan menyiapkan rumah. Sampai sekarang pun banyak yang masih belum siap. Pagar belum cat. Grill belum buat. Barang-barang pun ada yang belum dikemaskan. Satu bilik tu dah jadi macam bilik stor. Lebih kurang begitulah......huhuhu.....

Tahun ini kami menginap di Hotel untuk menyenangkan kami berulang alik ke lokasi Tilawah. Jika tahun sebelum ini, saya menginap dirumah saja. Disebabkan jadual yang agak padat, kami tidak punya banyak masa untuk berulangalik. Duduk hotel pun free..Apa lagi kami diperuntukkan 3 bilik disebabkan setiap peserta dan pengiring layak mendapat satu bilik. Ikut kelayakan kami dapat 4 bilik disebabkan kami sekeluarga seramai 4 peserta. Bagaimanapun satu bilik diserahkan kepada penganjur untuk AJK.

Selepas selesai menunaikan solat Jumaat, kami bersiap-siap untuk melaporkan diri di Hotel Summer View, Brickfield. Hotel yang menempatkan peserta dari Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Sarawak. Alhamdulillah semua urusan pendaftaran berjalan lancar walaupun pakaian untuk peserta Kuala Lumpur agak lewat tiba. Tapi tidak menjadi masalah disebabkan majlis pembukaan adalah pada keesokan harinya. Semasa pertandingan kami pakai pakaian yang biasa sahaja.

Sebelah malamnya diadakan taklimat untuk peserta dan ketua kontingen. Taklimat yang ringkas dan padat. Pihak penganjur memaklumkan diantara para hakim yang akan menghakimi Tilawah kali ini adalah Ustaz Nik Azizan (Pengacara Mari Bertarannum TV9), Ustaz Amirrahman Abas yang telah menjadi Johan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 3 kali dan juga diantara pemenang Akademi Al-Quran yang pertama bersama Fahmi, kalau tak silap tempat ke 3. Ustaz Fajuri (tenaga pengajar Kelas Tarannum Menara TM) turut menjadi Hakim, manakala seorang lagi ana tak ingat...

Balik dari taklimat lebih kurang pukul 10.30 malam, saya pun buka Al-Quran untuk praktis ayat-ayat yang akan dibaca keesokannya. Inilah yang betul-betul praktis. Jika sebelum ini, tengok ayat dan maknanya. Cuba memahami ayat dan mencari wakaf dan ibtidak yang baik.
Saya mula menyusun lagu satu demi satu. Cuba menyesuaikan ayat dengan lagu dan seterusnya cuba memasukkan elemen-elemen Ikhtilal, Wuslah dan Qit’ah untuk cuba mendapatkan markah bonus. Ikhtilal adalah suara-suara sumbang yang disengajakan yang menarik manakala Wuslah adalah merangkum 2 atau lebih lagu dalam satu harakat bacaan. Qit’ah pula adalah irama asas satu harakat yang dipotong kepada 2 atau lebih lagu bacaan. Secara ringkasnya Ikhtilal dan Qitah adalah dua perkara yang berlawanan. Ikhtilal adalah menggabungkan 2 atau lebih harakat menjadi satu manakala Qit’ah adalah memotong satu harakat menjadi lebih dari satu irama bacaan. Disamping itu saya juga membawa lagu Hijaz dengan 5 Harakat. Syarat suatu lagu hanyalah 4 harakat. Jika dapat membaca dengan 5 Harakat maka dikira juga sebagai bonus. Didalam Tilawah, perkara ini adalah merupakan bonus jika dapat dilakukan dimana sudah diperuntukkan markah yang khusus untuk ini.

Didalam bacaan saya kali ini saya cuba memasukkan unsur ini dengan sedikit ilmu yang ada. Ikhtilal dan Wuslah dipelajari daripada Ustaz Hassan Al-Fadhli, Hijaz dengan 5 harakat yang dipelajari daripada Ustaz Hafaz Ali (Naib Johan AQ2) dan Qit’ah yang diambil dari Syarifah Khasif Fadzillah semasa AQ 3 semasa peringkat separuh akhir. Itu sajalah modal saya yang ada. Saya teringin untuk melakukan wuslah Hijaz kepada Nahwan sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat saya Aslam yang memenangi peringkat Negeri sebelum ini, bagaimanapun masih belum yakin dapat melakukannya. Bagaimanapun ini satu ilmu yang baru untuk saya.

Pertandingan dijadualkan seawal pukul 8.30 pagi. Saya adalah peserta ke-5. Pukul 7 kami sudah bersiap-siap untuk ke lokasi Tilawah di Dewan serbaguna Menara TM. Pukul 8 bertolak dan sampai kesana 10 minit kemudian. Hadirin masih belum ramai. Para hakim pun belum tiba. Kami mengambil tempat dibarisan ketiga untuk memudahkan saya membuat rakaman video. Video ini akan disimpan untuk kenangan dan juga rujukan bagi memperbaiki bacaan pada masa akan datang.

Pertandingan dimulakan pukul 9.00 pagi. Lewat setengah jam dari dijadualkan. Peserta pertama daripada Sabah. Seorang veteran yang telah 12 kali menyertai Tilawah TM. Pernah memenangi tempat kedua dan ketiga tapi belum pernah mendapat Johan. Bacaannya baik. Bagaimanapun ada sedikit kesilapan dimana beliau telah bertukar baris didalam salah satu kalimat yang dibacanya. Beliau sendiri tidak perasan sehinggalah saya memaklumkan kepadanya.

Seterusnya peserta kedua, ketiga, keempat dan tibalah giliran saya menyampaikan bacaan. Darah gemuruh saya masih belum hilang walaupun telah beberapa kali menyertai Tilawah. Inilah masalah utama yang masih belum dapat diatasi. Ayat demi ayat dibaca sebagaimana yang di rancangkan pada malamnya. Tiba pada lagu Nahwan iaitu lagu yang ketiga, loceng pertama sudah berbunyi menandakan saya ada 2 minit sahaja lagi untuk menamatkan bacaan. Syarat Tilawah, kami kena membaca sekurang-kurangnya 4 lagu. Saya menyedari sudah kesuntukan masa. Sepatutnya loceng pertama saya sudah berada di Harakat kedua lagu Rast iaitu lagu yang keempat. Saya mempercepatkan sedikit tempo bacaan. Selesai saja lagu keempat, masa sudah tamat. Belum sempat tutup dengan lagu Bayati. Biasanya ini juga akan menyebabkan markah dipotong...Apa lagi nak buat. Dah tak boleh buat-apa-apa. 10 minit sama saja untuk semua orang. Tidak ada terlebih, tidak ada terkurang.

Saya turun pentas dengan sedikit kecewa. Bagaimanapun sahabat saya Aslam memberikan kata-kata harapan dengan katanya itu terpulang pada hakim. Jika hakim yang ” berkira” maka akan dipotong. Jika tidak, maka tiada pemotongan markah.

Peserta ke-11 daripada Sarawak. Beliau telah meyampaikan bacaan dengan baik. Burdahnya cantik dan suaranya pun mantap. Sedikit kesilapan beliau pada penghujung bacaanya dimana beliau telah terputus nafas pada dua tempat. Ini sudah pasti akan menyebabkan markah ditolak untuk kesilapan tersebut.

Ramai juga peserta yang terputus nafas. Inilah yang sangat ditakuti oleh semua peserta Tilawah. Nafas dan suara adalah merupakan dua perkara yang amat penting yang perlu di berikan perhatian oleh semua peserta. Latihan senaman adalah perlu untuk meningkatkan ketahanan nafas. Semua ini telah dipelajari oleh semua orang tapi tak ramai yang istiqamah dalam melakukannya termasuk saya sendiri. Sebelum peringkat negeri hari itu, sebelum pergi kerja, singgah sekejap di Taman Alam Damai untuk berjogging. Tapi untuk persiapan peringkat Kebangsaan, sekali pun tak buat!! Huhuhu.....

Tiba giliran saudara Aslam. Waktu sudah hampir pukul 1 tengahari. Beliau telah naik kepentas dengan tenang dan seterusnya menyampaikan bacaan. Bacaanya amat baik dan semua hadirin begitu khusyuk sekali menghayati bacaanya. Kedengaran sahutan ....Allah!!... kalimah takbir oleh hadirin di belakang. Begitulah indahnya burdah bacaan yang disampaikan. Bacaannya lembut dan lagu yang menarik walaupun beliau kurang sihat sebenarnya..Sebagaimana yang saya jangka beliau telah membuat Wuslah kepada Nahwan didalam lagu Hijaz harakat ke 2. Menarik sekali. Dalam kami terbuai dengan alunan bacaan yang disampaikan oleh saudara Aslam, tiba-tiba kedengaran bunyi loceng pertama. Baki masa tunggal 2 minit lagi. Saya pun tertanya-tanya sendirian. Rasanya beliau masih dalam lagu yang kedua atau awal lagu yang ketiga. Keasyikan kepada bacaan yang disampaikan menyebabkan saya ”confuse”. Beliau meneruskan bacaan sehinggalah ke loceng penamat.

Sebaik sahaja beliau turun pentas, saya bertanyakan beliau berapa lagu yang dibawa. Beliau cakap hanya 3. Tak sempat habiskan lagu keempat. Harapan beliau menjadi Johan pada pandangan saya sedikit goyah kerana syarat Tilawah adalah menyampaikan 4 lagu dalam masa 10 minit tersebut. Ini mengakibatkan beberapa markah ditolak. Tak silap saya satu lagu yang ditinggalkan boleh dipotong sehingga 4 markah.

Majlis seterusnya ditangguhkan untuk berhenti rehat makan tengahari dan juga solat Zohor. Semasa menikmati makanan tengahari, dah tak ada pantang larang. Biasanya saya tak minum ais. Tapi bila cari air panas tak ada, terpaksalah minum ais. Lagipun dah habis baca pagi tadi.....Kadang-kadang saya akan lelah bila minum ais.

Majlis bersambung sebelah petang untuk baki beberapa Qari dan Qariah yang belum menyampaikan bacaan. Bacaan oleh Johan menunggu adalah giliran yang terakhir.

Seorang demi seorang menyampaikan bacaan. Terdapat juga kes dimana Peserta Qari dan Qariah yang dipanggil pada sebelah pagi tapi belum hadir ke lokasi Tilawah. Bagaimana pun beliau diberikan peluang pada sebelah petang untuk menyampaikan bacaan. Itulah uniknya TM. Kalau tempat lain...wassalam...huhuhu.....

Johan menunggu dipanggil untuk menyampaikan bacaan. Saudara Syuhaili melangkah dengan macho untuk menyampaikan bacaanya. Beliau ini low profile sikit. Duduk pun belakang-belakang. Tak nak duduk dengan peserta lain..huhuhu....

Sebagaimana sebelumnya bacaanya ”mantop” ( pinjam kalimah Ustaz Zamri sat) dengan lagu dan burdah yang lembut dan menarik. Maklumlah anak buah Ustaz Fajuri...hehehe..
Tiba-tiba ada sedikit kesilapan dalam bacaanya. Beliau telah tertukar baris dalam salah satu kalimah yang dibacanya. Tertukar baris adalah satu kesalahan Jali (besar). Jika mengikut format pemarkahan, kesilapan baris boleh menyebabkan pemotongan sehingga 2 markah. Kesilapan ini sedikit sebanyak menggugat kedudukan beliau sebagai Johan menunggu.

Selepas Johan menunggu Qariah menyampaikan bacaan, Majlis ditangguhkan ke hari berikutnya. Pada malam nanti akan diadakan majlis pembukaan. Pengurusan atasan TM akan turun untuk menyempurnakan majlis.

Kami balik ke Hotel untuk berehat buat seketika. Sebelum Maghrib nanti kena datang lagi. Penat juga seharian berkurung dalam dewan.

Majlis pembukaan diserikan dengan lagu Nasyid oleh penyanyi solo Amar. Majlis digamatkan dengan sedikit persembahan silap mata. Amar telah menjemput seorang pembantu beliau secara sukarela. Tiba-tiba saya lihat anak saya yang berada dibelakang saya berjalan ke depan untuk menjadi pembantu Amar. Persembahan silap mata beliau lebih kepada untuk seronok sahaja. Penonton terhibur dengan persembahan tersebut.

Selesai majlis pembukaan kami semua balik ke hotel untuk tidur dan menyambung lagi Majlis Tilawah untuk keesokan harinya bagi kategori remaja dan kanak-kanak. Masing-masing kepenatan. Sekejap saja semua sudah lena dibuai mimpi.

Majlis Tilawah hari kedua dimulakan dengan kategori remaja dan seterusnya dikuti dengan kategori kanak-kanak disebelah petangnya. Bagi kategori remaja, tiada peningkatan ketara yang diperhatikan berbanding tahun sebelumnya. Cuma ada seorang peserta daripada Sarawak yang mempunyai alunan Tarannum yang baik. Bagaimanapun beliau perlu memperbaiki bacaan dari segi Tajwid dan Makhraj huruf. Bunyi kedaerahan perlu dikikis untuk menjadi Qari yang baik. Beliau memang berbakat dan berpotensi untuk maju.(.....huhuhu...macam komen masa buat penilaian prestasi pulak dah...).

Bagi kategori kanak-kanak, terdapat peningkatan ketara khususnya peserta Qariah dari Johor, Qari dari Kelantan dan Qari dari Kedah/Perlis. Faris sebagaimana peringkat sekolah sebelum ini, tiadalah sangat peningkatan yang ketara sebab gurunya juga tak mampu mengajar yang lebih baik...huhuhu.... Terserahlah kepada para hakim untuk membuat penilaian.

Hanya Faris dan Munifeh sahaja yang akan memperdengarkan bacaan disebabkan Hazierah (panggilan biasa-kakak) terpaksa menarik diri disaat akhir disebabkan Kakak tak boleh baca Al Quran. Nak buat macamana. Biasalah anak perempuan. Kalau dah sampai waktunya bukan boleh ditahan-tahan. Kakak amat kecewa. Beliau telah berusaha dengan penuh semangat. Namun rezeki tidak memihak kepada beliau kali ini. Memang ada pandangan yang mengatakan boleh dalam keadaan seperti ini, tapi saya mengambil pendirian tak boleh. Jadi hanya tinggal Faris dan Muniefah (angah) yang akan menggalas tanggung jawab bagi mewakili Kuala Lumpur.

Majlis hari kedua ini berakhir agak lewat. Maklumlah 2 kategori iaitu remaja dan Kanak-kanak. Setiap kategori menpuyai lebih kurang 25 orang peserta. Maka jumlah peserta yang akan perdengarkan bacaan adalah seramai 50 orang. Kalau seorang 10 minit termasuk naik dan turun pentas, secara mudahnya 500 minit bersamaan dengan 8 jam lebih. Itu belum masuk ulasan pengacara majlis.

Majlis petangnya berakhir pada lebih kurang 6 petang. Bagaimanapun saya mengundurkan diri awal sedikit dalam lebih kurang pukul 5.30 petang. Sebabnya adalah anak-anak dah merenget nak balik sebab sudah lama terkurung. Kami kena kembali semula ke dewan sebelum waktu maghrib.

Majlis malamnya adalah Perasmian penutup dan Penyampaian Hadiah. Majlis akan dirasmikan oleh Pengerusi TM. Majlis dimulakan dengan persembahan Kumpulan Nasyid As Saufi. Mereka telah menyampaikan 4 lagu. Semuanya menarik dan merdu untuk halwa telinga dan minda. Seterusnya adalah ceramah yang disampaikan oleh Dr Ann Wang Seng. Intipati kepada ceramah beliau adalah berkaitan dengan akidah yang betul. Beliau telah berjaya menyampaikan mesejnya walaupun dalam waktu yang agak terbatas. Sebagaimana kata beliau dalam ceramahnya, beliau terpaksa bercakap melebihi kelajuan jalur lebar kerana masa yang amat terhad...huhuhu.....

Selesai sahaja acara ceramah, pengerusi mempersilakan ketua Hakim untuk menyampaikan komen dan seterusnya pengumuman keputusan semua acara yang telah dipertandingkan. Disamping acara Tilawah terdapat juga acara bercerita dan Tahfiz. Bercerita hanyalah untuk kategori kanak-kanak, manakala untuk Tahfiz terdapat dua kategori iaitu Remaja dan dewasa.

Selesai komen para hakim, satu persatu keputusan diumumkan....Kategori Kanak-Kanak lelaki....Tempat ketiga – dengan markah 80% dimenangi oleh Faris Izwan Nordin.......Huhuhu.... Hancur harapan untuk mempertahankan Kejuaraan. Kategori ini dimenangi oleh Adik Syaqif Adib yang mewakili Kelantan. Tempat kedua dimenangi oleh Adik Amirul yang juga mendapat tempat kedua pada tahun lepas. Keputusan yang berubah adalah diantara Faris dan Thaqif sahaja. Faris jatuh ke tempat ketiga dan Thaqif naik ke tempat pertama. Itulah keputusan yang telah tersurat....

Kategori demi kategori diumumkan. Kategori Qariah Kanak-kanak tempat ketiga dimenangi oleh......dari Kedah/Perlis. Dalam hati....Alhamdulillah. Tempat kedua dimenangi oleh Fatin Muniefah Bt Nordin dengan markah..... Huhuhu...kecewa lagi nampaknya. Tempat pertama telah dimenangi oleh Zarith Najiha daripada Johor. Tahun lepas Beliau ditempat kedua. Kini bertakar tangan lagi....Itulah satu lagi keputusan yang tersurat....

Dari satu kategori ke satu kategori. Seterusnya melangkah ke kategori Dewasa. Inilah yang dinanti-nantikan oleh semua hadirin. Qariah tempat ketiga dimenangi oleh .....kedah. Tempat kedua dimenangi oleh...dari Sarawak. Johan dimenangi oleh...Naemah abu Yamin dari Johor.
Seterusnya Qari dewasa tempat ketiga dimenangi oleh Nur Aslam yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tempat kedua dimenangi oleh Syuhaili Abdul Hamid Johan Menunggu dengan markah 81%. Pengerusi diam seketika memandang kepada skrin projektor. Yang memaparkan markah peserta.

”Johan dimenangi oleh peserta yang dihantar dari negeri Selangor ....Saudara Nordin Jusoh juga dengan markah 81%. Sebagaimana yang saya umumkan sebentar tadi, persaingan tahun ini amat sengit dimana para hakim terpaksa mengadili dari segi markah Tajwid disebabkan dua peserta ini mendapat markah yang sama” Pengumuman Pengerusi hakim disambut dengan tepukan oleh para hadirin. Saya menekup muka melafazkan Alhamdulillah dengan rasa terkejut. Beberapa orang rakan menghulurkan tangan mengucapkan tahniah..

Dup....dup....dup....jantung saya berdegup kencang. Sebagaimana lazimnya pemenang akan diminta naik ke pentas untuk mempersembahkan bacaan sekali lagi. Saya langsung tiada persiapan untuk itu. Sebaik saja turun dari pentas hari sebelumnya, saya menganggap sudah selesai....Ada rezeki jumpa lagi tahun depan. Itulah sebabnya tibai semua benda termasuk air batu, buah dokong dan lainnya. Macamana saya nak baca nanti.. Suara dah parau semacam. Makan nasi tadi pun saya minum air batu lagi menyebabkan dada terasa macam nak lelah. Sahabat saya dari Kelantan tadi ada berseloroh. Jangan makan banyak-banyak nanti kena naik baca sekali lagi....Saya menganggap itu gurauan biasa sahaja dan tidak mengambil serius. Jika tidak, pasti saya tidak makan petang tadi. Memang kebiasaannya begitu. Saya tidak akan mengambil makanan sehingga selesai menyampaikan bacaan kerana akan menyebabkan nafas menjadi semput. Al-Quran pun tak bawa. Tinggal kat hotel.!!!

”Dengan segala hormatnya dipersilakan Johan Qari Dewasa untuk menyampaikan bacaan”

Saya berdiri sambil mengisyaratkan kepada AJK yang saya memerlukan sebuah Al-Quran. Tak lama kemudian datang seorang AJK menyerahkan sebuah Al-Quran kepada saya. Al-Quran yang masih baru. Baru keluar kotak agaknya.

Saya naik kepentas sambil mencari ayat yang saya bacakan iaitu dari Surah Al-Furqan. Ayat 61. Mukasuratnya saya tak ingat sebab sudah ditandakan. Saya kurang memberikan perhatian kepada mukasurat mashaf tersebut. Kalau dengan komputer, tekan surah saja sudah keluar ayatnya. Sampai dipentas saya masih tercari-cari ayat tersebut. Balik kepada indeks tengok satu-satu surah.Mukasurat 359. Balik punya balik mukasurat berkenaan tak jumpa. Hadirin senyap sunyi menanti bacaan dimulakan. Balik sana, balik sini tak jumpa juga. Saya sudah mula merasa segan dengan hadirin serta tetamu kehormat yang menanti saya memulakan bacaan. Hampir satu minit saya dalam keadaan demikian. Akhirnya saya terlintas, baca jelah ayat lain. Lantas teringat ayat semasa peringkat negeri yang mudah dicari iaitu Al-Baqarah ayat 44 kerana berada dihadapan. Belek dua tiga helai terus jumpa ayat berkenaan. Terus saya memulakan bacaan. Suara pun dah tak normal sebagaimana hari semalam. Jawabul jawab pun rasanya tak lepas. Huhuhu.... Jawabul Jawab adalah merupakan tingkatan suara yang paling tinggi dalam sesuatu lagu tarannum. Saya menamatkan bacaan dengan hanya menyampaikan 3 lagu sahaja iaitu Bayati, Hijaz-Iraqi dan Nahwan.....Turun dari pentas dengan rasa malu kepada diri sendiri yang teramat..Tak tahulah pula apa pandangan hadirin pada malam tersebut..huhuhu....malunya....Kepada semua para hadirin yang hadir...Maafkan saya...

Seterusnya peserta Johan Qari Kanak-kanak dan Johan bercerita diminta mempersembahkan bacaan dan cerita masing-masing.

Majlis seterusnya adalah penyampaian hadiah dan cenderahati kepada semua pemenang. Majlis berlangsung dengan lancar. Satu demi satu kategori menerima hadiah masing-masing.

Tempat kedua dan ketiga untuk kategori Dewasa adalah wang tunai. Johan kategori dewasa adalah Pakej menunaikan Umrah bernilai RM6000.00.... Alhamdulillah.. berbanyak syukur kepada Alllah yang melimpahkan rezeki kepada hambanya.

Ya Allah. Lambaian Kaabah semakin hampir. Panjangkanlah umur ku untuk menziarahi kekasihmu dan menjadi tetamu Mu untuk pertama kali. Permudahkan lah segala urusan. Aku sangat berterima kasih diatas peluang yang telah diberikan ini.

Sekali lagi Alhamdulillah.

Buat sahabatku Saudara Syuhaili dan Nur Aslam. Anta berdua sebenarnya adalah Juara...

 Bergambar kenangan di hadapan Masjid Nabawi
Bergambar dari Tingkat atas Masjidilharam 

Sunday, July 4, 2010

Tilawah Kembali lagi

Masa berlalu dirasakan begitu pantas. Diam tak diam sudah hampir setahun berlalu dari tempoh Tilawah tahun lepas. Untuk tahun ini Tilawah TM sudahpun bermula. Pemilihan peringkat negeri sudah berlalu pada 27 Jun 2010. Alhamdulillah dengan berkat usaha yang berterusan, kami sekeluarga sekali lagi akan mewakili Kuala Lumpur dan Selangor untuk Tilawah TM Peringkat Kebangsaan pada tahun ini. Faris dan Angah mendapat Johan Peringkat Negeri dan akan mewakili Qari dan Qariah Kanak-kanak bagi Kuala Lumpur, manakala saya dan Kakak mendapat Naib Johan dan akan mewakili Qari dewasa dan Qariah Kanak-kanak bagi negeri Selangor.
Faris dan Angah sudah semakin baik bacaannya. Di dalam Tilawah peringkat sekolah-sekolah kementerian pelajaran tempohari, mereka telah berjaya mewakili Wilayah Persekutuan ke Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu.
Kakak pula masih lagi belum mencapai bacaan yang baik disebabkan kesibukan dengan tuisyen..Tahun ini UPSR.....
Doakan kejayaan kami semua dalam apa jua urusan....wassalam..

Monday, February 1, 2010

BELAJAR AL-QURAN ONLINE

ADAKAH ANDA BELUM PANDAI MEMBACA AL-QURAN?

ADAKAH ANDA BERMINAT UNTUK MEMPELAJARINYA ?

JIKA BERMINAT ..........ANDA MEMPUNYAI PILIHAN BERIKUT :
1. SEGERA CARI USTAZ UNTUK MEMPELAJARINYA DIKAWASAN BERHAMPIRAN DENGAN ANDA.
2. JIKA ANDA TIDAK DAPAT MELAKUKAN PILIHAN DIATAS DENGAN BERBAGAI ALASAN YANG HANYA ALLAH DAN ANDA SAHAJA YANG MENGETAHUINYA, SAYA BERSEDIA UNTUK MENGAJAR ANDA SECARA ONLINE MELALUI KEMUDAHAN INTERNET.

BAGAIMANA CARANYA?

Jika anda dapat membaca apa yang saya tuliskan didalam website ini, bermakna anda salah seorang pengguna internet. Tinggal lagi bagaimana untuk manafaatkan kemudahan internet ini untuk mempelajari pelbagai ilmu yang berguna khususnya ilmu Al-Quran.
Saya akan membimbing anda untuk mempelajari Al-Quran walaupun anda berada beratus kilometer daripada saya. Kita akan belajar secara online menggunakan kemudahan SKYPE dan TeamViewer 5.
Jika anda telah biasa dengan Skype, maka tiada masalah lagi untuk anda. Tinggal lagi masukkan nama saya didalam ”Contact List” anda dan kita akan setkan masa yang sesuai untuk berkomunikasi. Full Name : Nordin Jusoh Skype Name : njhaizan

























Bagi yang belum biasa dengan Skype, kemudahan Skype adalah untuk berkomunikasi melalui internet secara online sebagaimana berbual melalui telefon. Lebih istimewa jika anda mempunyai Webcam, wajah anda dapat dilihat oleh orang yang anda hubungi.
Untuk memasang Skype didalam PC anda sila layari website http://www.skype.com/
Seterusnya klik “Download” dan ikuti langkah seterusnya sebagaimana tatacara yang tersedia didalam website tersebut. Anda juga perlu pasang TeamViewer 5 bagi membolehkan anda melihat skrin yang akan diajarkan. Sila download dari site berikut: http://www.teamviewer.com/download/TeamViewer_Setup.exe
Semasa proses pemasangan, pastikan anda memilih "Personal / Non-commercial use" untuk menggunakan software ini secara percuma.






















Bagi yang tinggal di Kuala Lumpur, sekiranya anda mempunyai masalah untul memasang Skype dan TeamViewer 5, saya boleh membantu anda, bagaimanapun caj perkhidmatan dikenakan sebanyak RM50 sahaja untuk perjalanan kerumah anda. Kalau boleh pasang sendiri. Senang je......
Jadual pengajian adalah 2 atau 3 kali seminggu, setiap slot 20 hingga 30 minit. Anda boleh memilih mana-mana hari diantara Isnin hingga Sabtu, antara waktu 9.00 hingga 11.00 malam sahaja.
Tempat terhad kepada 12 orang pelajar sahaja.
Sumbangan kepada saya boleh dibincangkan. Sebarang pertanyaan boleh SMS kepada saya 013-9804332 (Nordin)

APA KEPERLUAN YANG ANDA PERLU ADA?

1. Kemudahan Internet
2. Microfon dan Speaker untuk PC anda (Webcam adalah pilihan)
3. Kemudahan SKYPE dan TeamViewer 5
4. Buku IQRA’ (Pilihan)
5. Setkan waktu belajar dengan saya mengikut kelapangan anda dan saya sendiri.
Note : Hari Ahad dikhususkan untuk menggantikan mana-mana kelas yang
tertinggal.


APA SYARATNYA?
1. Anda belum pandai membaca Al Quran. Allah telah memberikan hidayah kepada anda dengan mencampakkan suatu keinginan untuk Belajar Al-Quran.
2. Anda adalah seorang remaja atau dewasa (13 tahun keatas). Kanak-kanak tidak diterima kerana saya hanya khususkan khidmat saya ini untuk remaja dan dewasa disebabkan kelas Al-Quran untuk anak-anak ada dimana-mana. Bagaimanapun jarang sekali kita jumpa kelas untuk orang dewasa yang belum pandai membaca Al-Quran. Jika diadakan sekalipun, mungkin kurang mendapat sambutan.
3. Mempunyai kemahuan yang tinggi untuk mempelajari Al-Quran, kalimah Allah yang maha suci, dimana membacanya akan memperolehi pahala yang banyak.


APA KELEBIHAN BELAJAR SECARA ONLINE INI

1. Anda tidak perlu keluar rumah untuk mencari Ustaz. Saya akan membantu anda sehingga anda dapat membaca Al-Quran. Apabila sudah pandai membaca Al-Quran, anda sudah setaraf dengan orang lain, maka pastinya anda tidak lagi merasa rendah diri untuk mendalami ilmu Al-Quran yang lain seperti ilmu Tajwid.
2. Anda tidak merasa segan kerana hanya Allah, anda dan saya sahaja yang tahu. Kita hanya berkumunikasi di alam siber.
3. Anda mempunyai pilihan waktu yang sesuai jika sebelum ini sentiasa menjadikan alasan SIBUK sebagai penghalang untuk belajar Al Quran.

SEKARANG ANDA TIDAK MEMPUNYAI ALASAN LAGI. JIKA ANDA BOLEH MENGHABISKAN MASA MELAYARI INTERNET, MAKA ANDA JUGA SEHARUSNYA MEMPERUNTUKKAN MASA UNTUK BELAJAR AL QURAN. SAYA SEDIA PERUNTUKKAN MASA UNTUK MENGAJAR ANDA ATAS RASA TANGGUNGJAWAB KEPADA AGAMA KERANA MEMPUNYAI SEDIKIT ILMU AL QURAN UNTUK DIKONGSIKAN DENGAN UMAT ISLAM YANG LAIN.


Note :-

Jika ada anak-anak yang berminat untuk belajar Asas Tarannum Al-Quran, juga insyaAllah saya dapat ajarkan. Untuk anak-anak yang belum pernah belajar sahaja. Bagi yang telah pandai, sila dapatkan Ustaz yang lebih berkemahiran. Lagu yang akan diajarkan ialah Bayati, Soba, Hijaz, Nahwan, Rast, Sikah dan Jiharkah.

Sekian,.....